Rabu, 30 November 2011

Lawatan ke SAF 2011

Pagi tadi sempat ke perkarangan letak kereta Stadium Melawati untuk meninjau Selangor Agrofest (SAF) 2011. Walaupun tak berapa mahir dengan jalan di Shah Alam, tetapi dengan bantuan GPS, akhirnya sampai jua. Sempena cuti sekolah ni, elok juga melawat tempat-tempat begini. Mak dan adik-adik pun ikut sekali.
Namun begitu, yang sedikit menyedihkan ialah publisiti untuk program yang sebesar ini bagi saya amat kurang. Banner dan banting yang digantung hanya nampak setelah hampir sampai ke tempat yang dituju. Walaubagaimanapun, kehadiran cukup ramai walaupun hari bekerja. Keadaan ini membuatkan saya terfikir, kalau banyak publisiti lagi, mungkin lebih ramai yang tahu dan teringin untuk hadir.
Pada SAF 2011 kali ni, ada banyak pameran dan gerai-gerai yang menjual hasil tempatan. Memang sesuai untuk mereka yang ingin mendapatkan maklumat terkini tentang hasil pertanian dan penternakan selain mencuba hasil-hasil IKS yang enak dan dijual pada harga yang murah. Kepada mereka yang tinggal di Lembah Klang dan tercari-cari tempat untuk membawa keluarga sempena cuti sekolah ini, saya mencadangkan SAF 2011 untuk anda. Jauh lebih murah daripada memasuki Zoo Negara dan tak sejauh Cameron Highland.

Ar-Rahnu 2

Berkenaan tulisan saya tentang ar-rahnu dan kad kredit sebelum ini, ada beberapa respon yang saya terima. Antaranya ialah; pergi ar-rahnu memalukan; menggadai emas macam tak cukup duit. Jawapan saya mudah sahaja; memang tak cukup duit pun. Yang peliknya, meminjam dengan kad kredit juga sama; tak cukup tunai tapi kita tak malu menggunakannya.
Ini kerana kita telah kena “brainwash”; pakai kad kredit sesuatu yang membanggakan kerana nampak macam orang kaya tapi gadai emas di ar-rahnu memalukan kerana nampak macam orang miskin. Seperti cerita tentang tuan lembu yang mengembala lembunya dengan menaiki motor buruk dan dihon oleh sebuah kereta mercedes. Tuan lembu tu sebenarnya kaya sebab lembunya berpuluh ekor dan harga setiap ekor beribu ringgit. Tuan mercedes tadi belum tentu kaya, silap-silap kereta tu pun hutang bank (bank yg punya). Oleh itu, biarlah kita lagaknya tidak seperti orang berada sangat walaupun hakikatnya kita tidaklah miskin sangat.
Apabila mengenangkan kehidupan kita sehari-hari, pernahkah kita menghitung berapa banyak muamalat kita setiap hari yang tidak bercanggah dengan syariat; tiada unsur gharar, tiada unsur riba’ dan tiada penindasan? Sebagai ummat terbaik; ummat Islam, kita perlu menunjukkan contoh terbaik dalam cuba melaksanakan semua muamalat kita mengikut syariat. Kepada yang masih ada aaun konvensional, tukarlah ke akaun Islamik. Begitu juga halnya dengan kad kredit, sebolehnya kita tidak menggunakan yang bukan Islamik dan gantikan dengan yang lebih syari’e.

MST: Sekarang ni cerita lembu sedang hangat di pasaran. Mungkin boleh fikir untuk buat filem tentang lembu.....

Sabtu, 26 November 2011

Ar-Rahnu vs Kad Kredit

Saya mula diperkenalkan tentang pelaburan emas lebih kurang 3 tahun lepas oleh seorang sahabat yang juga ejen Public Gold. Pada ketika itu, saya agak berminat juga untuk membeli emas Public Gold tetapi “pulus” tak mencukupi. Selepas itu, ada pula sahabat yang menceritakan tentang teknik pecutan dengan memanipulasikan sistem ar-rahnu untuk meningkatkan pelaburan emas. Selain itu, saya dan isteri juga ada membuat sedikit bacaan sama ada di alam maya atau alam nyata.
Hasil pembacaan dan perbincangan, saya nak berkongsi sedikit idea berkenaan penggunaan institusi ar-rahnu untuk mengelakkan penggunaan kad kredit. Baru-baru ini saya ingin membeli suatu barang dengan harga RM2,300. Namun begitu, saya tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk membelinya. Antara cara untuk membelinya ialah meminjam (saudara mara, kawan atau bank-termasuk kad kredit). Saya agak malu nak pinjam dengan saudara-mara atau kawan, jadi pilihannya ialah dengan mengunakan kad kredit.
Akan tetapi, ada cadangan daripada isteri saya supaya kami menggunakan emas yang kami miliki dengan memajaknya di ar-rahnu. Kami membuat kira-kira dan menunggu hari yang sesuai (harga yang agak tinggi di ar-rahnu). Selepas membuat pajakan, kami membeli barang tersebut. Tempoh pajakan biasanya selama 6 bulan. Ar-rahnu akan memberikan pinjaman sebanyak 65% daripada harga emas dan mengenakan ujrah (upah) kerana tolong simpan emas yang kami pajakkan. Kos ujrah lebih kurang 0.75% daripada harga emas (bergantung kepada ar-rahnu), jauh lebih rendah daripada caj kad kredit (walaupun yang Islamik).
Untuk menebus semula emas kami tadi, kami membuat bayaran sedikit-sedikit selama 6 bulan. Yang menariknya tentang pajak gadai Islam (ar-rahnu), jika kita tak mampu membayar balik pinjaman dalam masa 6 bulan, kita boleh membuat semakan semula dan membuat perjanjian baru tentang cara dan jumlah yang perlu di bayar. Setelah membuat kira-kira, cara ini lebih baik (caj lebih rendah) daripada berhutang dengan menggunakan kad kredit.
Kesimpulannya, jika ada duit lebih, belilah emas (barang kemas, dinar emas). Lebih menguntungkan daripada membeli ASB dan yang sewaktu dengannya. Dengan apa yang berlaku baru-baru ini (menggunakan ar-rahnu untuk ganti kad kredit), saya bertambah yakin untuk membuat pelaburan dalam bentuk emas (membeli emas) jika ada duit lebih. Banyak perkara yang boleh dibincangkan tentang emas ni. Jika ada sesiapa yang ingin berkongsi idea atau bertanya tentang emas, dipersilakan. Dengan berkongsi sedikit pengetahuan ini diharap dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Ahad, 20 November 2011

Mahalnya Ikan Patin Masak Tempoyak

Malaysia merupakan sebuah negara yang syurga makanan. Dalam musafir saya ke Kelantan minggu lepas, saya sempat menikmati nasi kerabu di Kelantan, keropok lekor di Losong, Terengganu dan singgah di Temerloh dengan tujuan nak merasa ikan patin masak tempoyak. 
Sebagai anak Pahang, gulai tempoyak ikan patin bukanlah asing bagi saya. Namun begitu, saya sedikit terkilan apabila singgah di Gerai Bukit Angin (R&R Bukit Angin) apabila melihat harga yang terpampang. Gerai yang sentiasa saya kunjungi semasa bertugas di Bera itu masih penuh dengan pelanggan seperti biasa tetapi perasaan kali ini tidak begitu selesa.
Pada asalnya saya tak mahu singgah di Bukit Angin, tetapi atas permintaan isteri yang teringin nak makan di Bukit Angin, saya singgah juga. Apabila sampai, saya memang teringin nak merasa ikan patin masak tempoyak tetapi melihat kepada harga yang terpampang, jadi takut pula. Nak tanya, tapi tuan kedai dan pelayan-pelayannya sibuk melayan pelanggan. Takut nanti kena marah pula jika bertanya harga.
Akhirnya, saya hanya ambil ikan keli dan isteri ambil burung puyuh. Tak sanggup rasanya nak berhabis berpuluh ringgit semata-mata nak merasa ikan patin walaupun isteri tanya berkali-kali kenapa tak ambil ikat patin. Alasan saya mudah, masih kenyang, tak teringin. Dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu.
Dalam perjalanan balik, saya singgah di gerai menjual patin di tepi jalan. Sekilo ikan RM15, seekor ikan tak sampai pun sekilo. Kalau masak sendiri di rumah, tak sampai RM15 pun. Kalau macam ni, baik makan di bangi sahaja, baru RM10 untuk separuh ikan. Bahagian paling sedap adalah bahagian kepala. Di bangi, bahagian kepala yang biasanya tak laku.
Saya harap, pada masa akan datang, saya akan dapat merasa lagi ikan patin tempoyak di Temerloh dengan rasa gembira dan bukan terkilan lagi. Mungkin ini kesan inflasi atau kapitalisme, entahlah.....

Isnin, 14 November 2011

Perginya Seorang Anak, Ayah, Suami, Sahabat dan Pejuang.

Dalam sibuk bersiap untuk kerja, bunyi pesanan ringkas (sms) yang bertalu-talu pada pagi Jumaat, 11 November lalu sedikit mengganggu. Biasanya pagi-pagi ni sms-sms promosi entah apa-apa atau sms daripada Celcom saja yang saya terima. Apabila dibaca salah satu sms yang diterima, berderau darah saya, serentak dengan sebutan “innalillah wa inna ilaihi raajiun”.

Berita yang saya terima amat mengejutkan; sahabat baik semasa di USM dulu telah meninggal dalam kemalangan. Beliau; Kamarulzaman Abdullah, terlibat dalam kemalangan selepas pulang dari Parlimen untuk menghadiri majlis penyerahan “Amanat Tun Razak” kepada PM berhubunga tuntutan royalti minyak Kelantan.

Saya terus membuat beberapa panggilan untuk mengesahkan berita itu. Perkara mati ni tak boleh buat main-main. Selepas mendapat pengesahan, saya terus maklumkan isteri dan utarakan kepadanya untuk menziarahi keluarga Allahyarham di Kelantan. Isteri saya serta-merta setuju. Kebetulan pula, isteri arwah; Farah Waheeda juga adalah sahabat isteri saya semasa di kampus dulu. Perkara pertama yang disebut isteri saya apabila saya sampaikan berita ialah, “Ya Allah... Kak Waheeda.” Mungkin dia terkenangkan nasib sahabatnya yang hampir 9 tahun tak ketemu.

Selepas solat jumaat, kami bertolak ke Kelantan. Sahabat-sahabat di Kelantan dihubungi dan Shahanaz setuju menjadi penunjuk jalan ke rumah keluarga Allahyarham. Kami sampai lewat malam di Kota Bharu dan menetap di sebuah hotel bajet di Lundang, berdekatan 7 Eleven Lundang dan Shell Jalan Sultan Yahya Petra.

Keesokan paginya Shahanaz membawa kami ke kubur Allahyarham terlebih dahulu. Setelah menyedekahkan Al-Fatihah dan doa, kami bergerak ke rumah keluarga Allahyarham di Batu 4, Wakaf Che Yeh. Perasaan yang bercampur-baur sejak dari kubur tadi bertambah kuat. Sesampainya kami ke rumah yang ditujui, kelibat tetamu yang berkunjung tak putus-putus.

Saya pun memberikan salam. Salam dijawab dan isteri Allahyarham muncul di muka pintu. “Ya Allah, dari jauh pun datang.” Saya hanya mampu tersenyum walaupun mata macam nak banjir melihat ketenangan seorang isteri pejuang. Mujur telefon bimbit berbunyi sebelum air mata sempat tumpah. Wan Hamadi, seorang sahabat lama menelefon mengajak ke rumah selepas menziarahi keluarga Allahyarham.
Bersama ayah Allahyarham; dua dari kiri

Selesai menjawab terlefon, saya naik ke rumah. Selepas seketika, saya sempat berbual dengan ayah Allahyarham. Banyak yang kami bualkan. Kebanyakkannya berkenaan Allahyarham. Antara yang saya sebutkan kepada beliau ialah, saya datang mungkin berdua dengan isteri tetapi yang mengirimkan salam takziah dan sumbangan duit sangat ramai; dari utara sampai selatan hingg ke Sarawak. Selain itu, insyaAllah kematian Allahyarham adalah kematian yang baik. Allah menjemput beliau pada malam Jumaat, pada waktu yang baik, dan tujuan musafirnya juga adalah tujuan yang baik; menuntut hak rakyat Kelantan. Belum dikira lagi doa dan solat jenazah Allahyarham yang dihadiri oleh sangat ramai orang.

Isteri Allahyarham bertudung hitam, duduk dua dari kanan
Sebelum pulang, Kak Waheeda ada berpesan, “minta pesan, kalau ada sesiapa yang ada memberi hutang kepada Allahyarham, sila tuntut dengan saya. Kalau Allahyarham ada membuat salah dan silap kepada sesiapa, mohon dimaafkan. Minta doakan dia.” Saya hanya mampu tersenyum sambil menjawab “Insya Allah.”

Bagi saya, kematian Allahyarham Kamarulzaman mempunyai banyak hikmah yang tersembunyi:
  1. Silaturrahim semasa di kampus yang telah terputus kerana tuntutan tugas dan kerja mula bertaut kembali. Sahabat yang lama tak dengar berita mula menelefon semula. Yang bertukar nombor telefon, memberi nombor telefon baru.
  2. Walaupun kini mungkin ada yang berlainan “bendera” tetapi kesan ukhuwwah semasa di kampus masih dirasai apabila masing-masing melahirkan kesedihan dan takziah atas pemergian Allahyarham.
  3. Sahabat sanggup memberi derma dengan banyaknya kepada isteri dan anak Allahyarham. Sumbangan yang sahabat-sahabat kirim RM950 semuanya dan dikumpul dalam tempoh dua hari sahaja (Jumaat-Sabtu). Balik hari ni, dapat tahu ada RM350 lagi yang dikirim tapi saya lambat tahu. Akan disampaikan sumbangan ini melalui sahabat yang tinggal di Kelantan. Oleh itu, diharap momentum memberi derma ini dapat diteruskan lagi untuk perkara-perkara lain pula.
  4. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Walaupun terasa kesedihan di rumah Allahyarham, tetapi ketabahan dan keredhaan keluarga Allahyarham menutupi kesedihan tersebut. Beginilah layaknya keluarga seorang pejuang.
  5. Pengajaran kepada yang masih hidup bahwa kematian itu tidak mengenal siapa. Kita mohon doa supaya kita mati dalam sebab dan kerja yang baik. Selain itu, jangan kita bersekongkol dengan kemaksiatan dan pembuat maksiat dan penzalim. Takut-takut tak sempat minta ampun.


Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Kamarulzaman Abdullah dan ditempatkan beliau dalam kalangan para syuhada dan orang-orang soleh. Insya Allah, kami semua akan mengikuti kamu juga. Dalam kenangan: Kamarulzaman bin Abdullah; Seorang Anak, Ayah, Suami, Sahabat dan Pejuang. 

Khamis, 20 Oktober 2011

Selepas Hilang Malas

Hari ini, setelah sekian lama, saya menulis semula. Bukan sibuk atau tiada isu yang nak ditulis tetapi dek kerana malas, tiada motivasi dan hilang keseronokan menulis, menjadikan tangan berat yang amat untuk memetik papan kekunci netbook.

Apa yang menyebabkan terdetik hati nak menulis hari ni? Saya terdetik hati nak menulis hari ni sebab teringatkan anak-anak pelajar di Tingkatan Peralihan setelah menggantikan guru Peralihan untuk matapelajaran ABM-Amalan Bahasa Melayu tengah hari Selasa lepas.

Benarlah kata orang, nak mengajar ni perlu ada kemahiran yang tinggi; boleh menarik minat mereka untuk mendengar, dan mampu menukarkan benda yang tidak menarik (belajar) kepada benda yang menarik (belajar juga). Pada mulanya saya dapat menarik sedikit perhatian pelajar Peralihan dengan bercerita sedikit tentang makanan halal atau spesifiknya sembelihan(sebab tajuk ABM Sumber Pertanian), tapi daya tarikan itu tidak lama.

Kasihan kepada pelajar-pelajar ini. Antara yang menjadi penghalang penting kepada penyampaian ilmu kepada anak-anak pelajar ini, pada pendapat saya ialah masalah bahasa. Sesuatu itu menjadi tidak menarik apabila kita tidak boleh memahaminya. Maka timbul persoalan, mengapa mereka tidak boleh menguasai Bahasa Malaysia sedangkan sudah 54 tahun kita merdeka?

Perkara yang sama terjadi kepada para pelajar yang tidak meminati atau sukar memahami Bahasa Inggeris. Saya dapati pelajar-pelajar saya tidak suka membaca buku Sains kerana bahasa yang digunakan adalah bahasa yang sukar mereka fahami. Memang benar, sesuatu bahasa itu penting untuk menguasai ilmu yang dikuasai bahasa itu tetapi jangan sampai penguasaan bahasa menjadikan seseorang itu golongan elitis dan menafikan hak golongan kebanyakan.

Berbalik kepada perkara asal tadi, banyak perkara perlu dilakukan untuk memastikan pelajar Peralihan tidak “digeruni” oleh guru-guru. “Gerun” bukan takut tetapi “gerun” kerana tak tahu cara untuk menarik minat mereka belajar. Antara cara untuk mencapai perpaduan adalah melalui bahasa. Melalui bahasa juga, dakwah dapat disampaikan. Maka perlu satu usaha supaya “kita” boleh bercakap dalam bahasa yang sama.

Wallahualam.

Isnin, 12 September 2011

Selepas Ramadhan Berlalu Pergi

Antara sedar dengan tidak, sudah hamper sebulan saya tidak menulis di blog ini. Semua ini terjadi akibat faktor sibuk dan malas walaupun banyak perkara yang boleh dan hendak dikongsi.
Pada syawal kali ini timbul juga rasa risau sekiranya Ramadhan yang lalu tidak saya gunakan sebaiknya. Bimbang jika setelah berakhir Ramadhan, masih belum bebas daripada api neraka. Nauzubillah.....
Terdapat beberapa isu yang menarik sepanjang Ramadhan yang lalu. Antara yang menarik ialah isu tazkirah semasa terawih. Terdapat yang tidak bersetuju dan tak kurang juga yang bersetuju. Bagi saya tazkirah semasa terawih amat bagus tetapi lebih bagus lagi jika tidak terlalu panjang dan diperbanyakkan aktiviti lain seperti tadarrus dan solat terawih itu sendiri.
Selain itu, isu duit raya juga menarik diperkatakan. Jika diperhalusi, sedekah semasa Ramadhan lebih besar ganjarannya berbanding semasa syawal. Tetapi ramai yang lebih suka menunggu sehingga selepas solat sunat hari raya untuk memberikan duit raya. Tak salah kalau kita berikan lebih awal pada hari terakhir ramadhan.
Kini pabila syawal tiba, kita dengar jemputan rumah terbuka di sana sini walaupun tahun ni agak kurang sedikit. Mungkin keadaan ekonomi tidak mengizinkan. Namun begitu, yang kurang mendapat promosi ialah puasa sunat enam. Harap-harapnya puasa sunat yang digalakkan ini tidak tenggelam dalam kegembiraan kita menyambut syawal.
Secara kebetulannya syawal tahun ini disambut pada tarikh yang hampir dengan hari kemerdekaan negara. Namun begitu, beberapa kenyataan dan isu yang ditimbulkan berkaitan kemerdekaan amat memeningkan kepala. Pada saya, sudah sampai masanya kajian semula sejarah secara ilmiah dilakukan. Mungkin dengan sejarah yang lebih jelas dan benar akan menarik minat pelajar dengan matapelajaran sejarah. 

Isnin, 15 Ogos 2011

Kepentingan Wasiat Mengikut Pemahaman Saya



Pada hari Sabtu lepas, 13 Ogos 2011, saya dan isteri telah menghadiri suatu program berkenaan pengurusan pusaka di Masjid Hasanah, Bandar Baru Bangi. Pada majlis tersebut, telah diterangkan secara ringkas dan padat tentang 3 perkara:
1. Kenapa berwasiat itu penting?
2. Bagaimana nak buat wasiat?
3. Bagaimana takaful membantu sebelum harta pusaka dibahagikan?

Kenapa wasiat itu penting? Untuk menjawab persoalan ini, kita mesti terlebih dahulu mengetahui apa yang terjadi jika seseorang itu meninggal dunia. Apabila seseorang dah arwah, semua harta benda atas nama si arwah akan dibekukan seperti tanah, rumah, kereta, duit di bank. Semua harta ini dibekukan sehinggalah harta ini selesai dibahagikan. 

Khamis, 4 Ogos 2011

Selitan Sebelum Asar

Semalam guru-guru sains PMR membuat perjumpaan di Makmal Sains II untuk berbincang tentang PEKA PMR. Pertemuan ringkas itu telah memberikan hasil yang besar iaitu senarai amali untuk Tingkatan 1 hingga 3 dipiawaikan bermula serta-merta. Walaupun sekolah lain mungkin dah lama buat, tapi kerana selalu berganti guru (maklumlah, sekolah transit), perkara itu tidak terlaksana beberapa tahun ni.
Senarai amali tu seperti gambar di bawah:

Pada pertemuan akan datang, mungkin pengagihan tugas dapat dilakukan untuk membuat manual dan soalan berkaitan amali yang telah dipiawaikan. Selain itu, sebarang masalah berbangkit juga dapat dibincangkan. Harapnya selepas ini pelajar lebih cemerlang dalam matapelajaran Sains dengan komitmen yang diberikan guru-guru mereka.

Isnin, 1 Ogos 2011

Catatan Hari Pertama Bulan Ramadhan

Pagi ni jalan agak lengang berbanding pagi-pagi biasa. Mungkin ramai yang bercuti hari ini sempena hari pertama Ramadhan. Bahkan mungkin ada yang mengambil peluang pulang ke kampung untuk bersahur bersama-sama ibu dan ayah. Apa yang pasti, semalam pusat membeli belah penuh dengan umat Islam tak kira kaum yang membuat persediaan bagi menyambut bulan ramadhan.
                Paling seronok di bulan Ramadhan ini mungkin kanak-kanak kerana berpeluang menikmati pelbagai juadah berbuka yang enak-enak sebagai ganjaran kerana berpuasa seharian. Sebelah malamnya pula berpeluang jumpa kawan-kawan semasa solat terawikh. Selepas terawih pula dapat menikmati moreh. Bahkan malam semalam surau saya sudah ada yang menyumbangkan juadah moreh; satay pula tu.
Jangan asyik tidur sahaja di bulan puasa. Gunakan masa sebaiknya.
Pelajar sedang bertadarus
                Apa yang saya risau ialah Ramadhan menjadi bulan untuk makan sehingga sifatnya sebagai bulan ibadah hilang ditelan Pasar Ramadhan yang semakin banyak tahun ini. Sewajarnya bulan Ramadhan kita gunakan untuk memperbanyakkan amalan ibadah. Membeli juadah di pasar ramadhan tidak salah tetapi membazir itu berdosa. Seorang pembazir layaknya sebagai sahabat syaitan. Janganlah kita menjadi sahabat syaitan.
                Semasa belajar dulu, seorang Tuan Guru pernah berceramah, antara sifat firaun adalah makan tak habis dengan ditinggalkan sedikit makanan untuk dibuang. Kalau kita bersifat begitu, maknanya kita geng dengan firaun lah. Mahu jadi geng firaun? Saya tak mahu. Seperkara lagi, janganlah isi masa dengan tidur sahaja. Sepatutnya bulan Ramadhan ini akan meningkatkan lagi produktiviti kita, bukan merendahkan produktiviti.

                 Lebih baik masa diisi dengan pelbagai program yang berfaedah seperti tazkirah, tadarrus, terawih berjemaah dan macam-macam lagi. Program-program ini sangat bagus untuk membina modal insan yang berakhlak mulia. Tengahari tadi sempat bersama Ust Bakhtiar dan pelajar-pelajar yang menyertai tadarrus. Program ini bagus untuk melatih pelajar membaca Al-Quran dengan baik tetapi penyertaan guru adalah sedikit kurang. Penyertaan guru sebenarnya penting untuk membimbing bacaan para pelajar. Atau mungkin guru-guru bimbang bacaan mereka juga tidak lancar? J
Khusyuk menyemak bacaan kawan
                Dalam perjalanan balik tadi sebuah lori telah terbalik selepas melanggar tiang lampu isyarat semasa menuruni Bukit Menara Tinjau ke Ampang. Masuk kali ini sudah tiga kali insiden seperti ini berlaku. Nampaknya kena lebih berhati-hati apabila melalui jalan ini. Walaupun lampu hijau, kena perhatikan juga kenderaan yang menuruni bukit.
                Hari ini saya akan berbuka puasa bersama keluarga di Hulu Langat. Isteri tercinta pun sudah bersiap-siap membuat bergedel untuk berbuka. Maklumlah, hari ini dia bercuti, jadi punya banyak masa untuk membuat bergedel yang remeh tapi sedap.
                Setakat ini, perjalanan saya di bulan Ramadhan bergerak lancar. Semoga hari-hari saya seterusnya di bulan Ramadhan lebih lancar lagi dan mendapat redha Allah. Amiiiin....

Ahad, 31 Julai 2011

Pusat Servis Produa

Jumaat lepas saya menukar pad brek viva saya di Pusat Servis Produa Sungai Sekamat. Kos keseluruhannya RM94.10 termasuk upah. kos yang mungkin sedikit mahal (menurut seorang kawan) berbanding bengkel biasa.
Namun begitu, saya kurang bersetuju dengan pendapat kawan saya ini kerana walaupun kos di bengkel biasa mungkin sedikit murah, tetapi pasti akan ada caj-caj lain; rosak sana, rosak sini, tukar itu, tukar ini. sebelum ini saya pernah nak buat "alignment" sahaja tapi, selepas diberitahu perlu ganti itu dan ini, hampir RM100. Ini kerana saya diberitahu yang sesetengah bengkel memberikan komisyen kepada pekerja mereka jika pelanggan menukar komponen kereta. Oleh itu, mereka pasti cuba mempengaruhi pelanggan untuk menukar komponen-komponen kereta.
Keadaan ini tentu menimbulkan keraguan dalam hati saya apabila dinasihatkan untuk menukarkan komponen kereta; betul-betul rosak atau mekanik ni saja nak "teow"? Oleh itu, jalan selamat ialah perbaik kereta di pusat servis ori. Mereka memang perbaiki apa yang betul-betul rosak saja. Mahal sedikit pun takpe, janji kerja elok dan tidak kena tipu.

Kalau berpendapat sebaliknya, terpulanglah....

Susupan Selepas LADAP

Cikgu Mah bersama peserta Bengkel Kimia
Guru-guru perempuan semasa LADAP
Guru-guru lelaki semasa LADAP

Hari semalam ada dua program besar; LADAP dan Bengkel Akademik Sains Tulen Fasa 2. Guru-guru yang terlibat dengan bengkel terpaksa menjadi dua alam selepas Pengetua mengubah keputusan di saat-saat akhir dengan memberikan kebenaran dua orang guru sahaja terlibat dengan bengkel tersebut dalam setiap sesi. Nampaknya perancangan asal terpaksa diubah dengan hati yang sebal.
Peserta bengkel sedang menjawab soalan

Rata-rata yang menghadiri LADAP merungut kerana terpaksa hadir pada hari Sabtu dalam kesibukan dan keghairahan umat Islam hendak menyambut Ramadhan. Namun begitu, guru-guru SMKTP memang baik, hanya bising di belakang sahaja tetapi munurut perintah. Perkara ini patut disyukuri oleh pihak pentadbiran sekolah.
Peserta Bengkel Biologi

Berlainan pula halnya dengan para pelajar yang menyertai bengkel akademik, mereka kelihatan gembira dan bersemangat. Harap-harapnya semangat itu akan berterusan sehingga ke saat akhir menghadapi SPM kelak. Guru-guru yang menganjurkan bengkel kali ini benar-benar berharap akan berlaku peningkatan 2Q(quality and quntity) dalam keputusan peperiksaan SPM 2011.
Pelajar sedang menjawab soalan yang diberikan

Selain itu, saya menyeru diri saya sendiri dan para pelajar serta rakan-rakan guru agar dapat menggunakan peluang Ramadhan tahun ini sebaik-baiknya untuk mendapat ganjaran akhirat yang abadi. Semoga ruang masa yang diberikan Ramadhan dapat kita gunakan untuk meningkatkan lagi produktiviti kita, Insya Allah.....

Khamis, 28 Julai 2011

MAKAN MAKANAN


Pemakanan amat penting untuk menentukan prestasi kita seharian. Terlalu banyak mengambil makanan bergula atau kadungan garam tinggi boleh menjejaskan kesihatan. Begitu juga dengan pengambilan makanan ringan yang tidak berzat, tidak baik untuk kesihatan. Namun, sekali-sekala mungkin boleh dimaafkan. Sebaik-baiknya kita ambil makanan sunnah seperti buah buah kurma dan yang seumpamanya.
Sekarang ni musim durian, maka kita lihat banyaklah makanan berasaskan durian di sana-sini; lempok durian, bubur kacang campur durian, bubur santan durian, pulut durian, tempoyak dan macam-macam lagi. Dengan kehadiran bulan puasa yang semakin hampir, harga durian tentu akan lebih murah lagi. Itulah rahmat Allah, apabila harga durian murah, orang-orang yang kurang berkemampuan juga jadi mampu untuk membeli.
Kepada semua muslimin dan muslimat khususnya kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, gunakanlah peluang rahmat di bulan Ramadhan ini dengan sebaik-baiknya. Cuba isi masa yang terluang dengan membanyakkan ibadah dan doa supaya senantiasa diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT.
Sebagai tips kepada para pelajar yang mengambil ujian pra percubaan bagi matapelajaran Biologi, berikut ialah tajuk yang akan diuji:
  1. Cell division
  2. Energy value in food
  3. Kidney- nephron
  4. Menstrual cycle
  5. Mendel’s Law
  6. Growth
  7. Variation
  8. Biodiversity- colonisation and succession
  9. Coordination and responses

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak.....

Jumaat, 22 Julai 2011

Berakhir Kejohanan Olahraga, Bermula Peperiksaan

Acara perbarisan, semua rumah ada maskot. Hebat.

Sebagai kakitangan awam, pihak sekolah telah mematuhi arahan supaya Kejohanan Olahraga Tahunan diadakan selepas bulan Jun. Antara alasannya supaya kejohanan lebih meriah dan pelajar lebih seimbang dari sudut akademik dan sukan. Walau bila pun kejohanan olahraga dibuat, Kejohanan Olahraga Tahunan SMKTP tetap meriah. Maklumlah, Naib Johan Peringkat Daerah Hulu Langat lah katakan..... Tahniah kepada Rumah Temenggung kerana berjaya mengamuk sehingga mendapat 21 pingat emas.
Tarik tali sebelah tangan pun boleh menang. Makan apa budak-budak ni?
Namun begitu, seluruh isi sekolah sekarang perlu mencurah tenaga untuk kejohanan PMR dan SPM pula. Mesti semangat macam olahraga juga ya. Sebagai peringatan kepada pelajar, berikut ialah beberapa cara nak buat ulangkaji, panduan daripada Tuan Guru saya.

  1. Baca buku teks dan buku rujukan setiap hari walaupun sedikit.
  2. Buat nota pendek atau peta minda semasa mengulangkaji..
  3. Baca nota pendek atau peta minda yang sudah dibuat.
  4. Buat latihan mengikut tajuk atau bab.
  5. Belajar secara berkumpulan dan buat giliran sebagai pengajar kepada rakan-rakan.
  6. Jumpa guru untuk bertanya soalan atau minta soalan dan tips.

Semoga bermanfaat.....

Sabtu, 2 Julai 2011

Peristiwa Solat Jumaat

Malam Jumaat baru-baru ni, semasa BBQ, kecoh kawan-kawan bercerita tentang makmum menengking bilal tengah baca khutbah di Masjid Ubudiyyah Taman Tasik, Ampang. Susah juga bila orang jahil tunjuk berani, adabnya tiada, kurang ajar, walaupun dah tua. Orang tua-tua ada berpesan, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Selain itu, kelakar juga bila kawan-kawan berlelucuan tentang memakai baju kuning yang bersih ke BBQ. Macam-macam perkara tersirat dalam lawak-lawak mereka. 
Pagi tadi pula Larian Satu Sukan Satu Murid. Masih terasa penatnya. Ramai yang datang tetapi entah beberapa kerat sahaja yang tunggu hingga akhir untuk mengemas. Mungkin masing-masing ada urusan lain dan jemputan yang perlu dipenuhi.
Walaubagaimanapun, seronok sungguh berniaga hari ni. Seronok melihat keletah ahli Kelab Guru dan Staf yang terlibat.

Isnin, 27 Jun 2011

Renungan Hari Isnin

Pada hari Jumaat lepas saya kebingungan apabila melihat seorang pakcik yang baru selesai Solat Jumaat dijemput anaknya(mungkin) yg berseluar pendek. Terdetik di hati, solat Jumaat pakai camtu ke? Solat ke tidak? Selepas tu, terdengar sembang-sembang penuh semangat tentang memperjuangkan Islam tapi bila dilihat penyembangnya, bertudung pun tidak. Tambah pelik lagi apabila melihat berita-berita di tv amat berlawanan dengan apa yg dilaporkan di media maya (internet). Yang mana satu betul?
Berakhlaklah selayaknya. Jangan jadi beruk.
Kesemua yang berlaku ini menjadikan saya terfikir suatu hipotesis; manusia hari ini lupa mereka akan mati. Banyak perkara yg kita buat untuk mendapat dunia semata-mata. Sebab itu, kita lihat ada yang berbuat ikut suka hati tanpa memikirkan Hari Kebangkitan nanti. Kadang-kadang risau juga kalau-kalau saya sendiri pun begitu. Minta jauhlah....

Selasa, 14 Jun 2011

Sisipan petang

Banyak perkara yang perlu diselesaikan hari ini. Paling susah apabila kerja tersebut melibatkan orang lain. Pening kepala ini harapnya menghasilkan peningkatan dan bukannya peninggalan.
Semalam, Ust Rohaimi ada sebut dalam kupasan beliau untuk tajuk Dakwah Secara Terus Terang, jika orang nak berjuang Islam (berdakwah) kena banyak bertasbih, bertahmid dan bersujud (solat). Itulah yang kurang sedikit sekarang ni. Semoga Allah beri jalan kepada penyelesaian tugas-tugas ini.
Kadang-kadang saya rasa pelik dengan cara orang hari ini bertutur. Kadang-kadang terasa macam tiada rasa malu bersikap kurang ajar. Kadang-kadang pengunaan bahasa itu pelik dan tak melambangkan keintelektualan yang ditunjukkan sijilnya.
Mungkin dunia terbuka hari ini menjadikan orang begitu berani. Cakap apa sahaja tanpa ambil kira kesannya. Kita lupa peribahasa, "kerana mulut, badan binasa". Entahlah.....

Ahad, 12 Jun 2011

Catatan Pagi

Setelah sekian lama menyapi kerana kesibukan kerja dan keluarga, akhirnya Allah beri ruang untuk kembali menulis. Bermula dengan peperiksaan sebelum cuti, menanda kertas periksa selepas itu, ditambah dengan kelas tambahan semasa cuti dan menziarahi orang tua di kampung, hari semalam barulah sedikit berkelapangan. Itupun masih ada sedikit kerja lagi tapi sebab bahannya tiada, bolehlah rehat dulu. Lagipun, hari ni hari minggu.
Cuti sekolah selama dua minggu ini dirasakan begitu singkat kerana setiap hari terisi dan banyak sekali perkara yang berlaku. Cumanya cuti baru-baru ini sempat bertemu sahabat-sahabat lama semasa belajar di USM dan MPKTBR dulu. Banyak perkara yang dibincangkan dan memori lama yang dikenang kembali. Bahkan dua sahabat lama sempat singgah di rumah saya; Faizal Rizal sekeluarga dan Naim sekeluarga. Terima kasih kerana sudi singgah di rumah buruk kami.
Semasa cuti baru-baru ni, saya sempat bersembang dengan Abang Pendi dan kawannya di Bangi Kopitiam. Selepas menjamu selera di situ, saya dapati setiap kopitiam yang pernah saya kunjungi membawa konsep yang sama, dengan makanan segera yang panas dan kopi yang sedap tetapi mahal. Mungkin kerana francais, maka harga makanannya agak mahal tetapi dari segi kelazatan makanannya, mungkin kedai makan lain lebih enak. Lagipun harganya mahal sedikit, tak sesuai dalam keadaan ekonomi sekarang.
Bercakap tentang harga barang yang semakin mahal, baru-baru ini saya sempat berkunjung ke Sungai Besar, Selangor. Seronok sungguh saya dan isteri kerana dapat menikmati kuih-muih yang sedap pada harga yang agak murah (berbanding di KL). Pada sebelah paginya sempat membeli ikan dan makanan laut di Pasar Besar Sekinchan. Ikannya murah dan segar. Makan tengahari kami, ikan kerapu bakar dengan cicah air asam, tomyam ketam, kerang rebus dan ulam ranti. Pergghhh....
Sebelum pulang ke Kajang, sempat membeli makanan laut untuk dibawa pulang. Antara yang menarik ialah udang gertak. Bagi sesiapa yang tak pernah makan mungkin agak geli atau menakutkan tapi sekali cuba pasti nak lagi. Tak sabar nak tunggu cuti seterusnya, dan harapnya kali ni betul-betul cuti....

Isnin, 16 Mei 2011

Selamat Hari Guru

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa, sejarahnya bermula dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca. Selamat Hari Guru terutamanya kepada tuan guru-tuan guru saya; Cikgu Tengku, Cikgu Ruslah, Cikgu Rashid (guru-guru sekolah rendah), Ustaz Sulaiman, Ust Norleha, Ust Saodah, Ust Wan Lawi, Ust Kamaruzzaman, Cikgu Kamarudin, Cikgu Yazid dan ramai lagi cikgu-cikgu saya. Begitu juga tuan guru-tuan guru saya semasa matrikulasi, maktab dan universiti. Terima kasih cikgu.....
Namun begitu, perkara yang paling saya sedih ialah saya telah lupa nama guru-guru yang mula-mula mengajar saya tulis baca dengan penuh sabar. Yang saya ingat seorang saja; Serimah binti Salam, ibu saya. Cikgu, walau di mana pun cikgu sekarang, walaupun nama cikgu saya tak ingat, tapi besar jasa cikgu kerana tulis baca yang cikgu ajarkan saya menjadikan saya sebagai saya hari ini. Terima kasih cikgu......
Kepada rakan-rakan yang menjadi guru, Selamat Hari Guru. Semoga kita menjadi guru yang mampu mendidik anak-anak murid kita cemerlang di dunia dan akhirat. Terima kasih cikgu.....

Ahad, 15 Mei 2011

Susupan sebelum maghrib

Sempat mendengar kuliah berkenaan tugas seorang khalifah pada hari ini. Khalifah menurut banyak pendapat ialah menegakkan agama dan mentadbir dunia dengannya (iqomatuddin wa siyasatud dunya bih). Antara tugas khalifah ialah beriman kepada Allah, mengajak kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar. 
Ini bermaksud tugas manusia sebagai khalifah bukan sekadar ibadah khusus seperti solat, puasa dan zakat semata-mata tetapi lebih dari itu; mentadbir dunia dengan berpandukan agama. Termasuk urusan ekonomi, sosial, muamalat, kekeluargaan, politik, undang-undang.... Mudah kata, semua urusan sejak mula bangun tidur, sampai tidur dan bangun tidur seterusnya mesti berpaksikan kepada panduan agama.
Besarnya tanggungjawab kita sebagai khalifah, patutlah makhluk yang lain tak sanggup memikul amanah ini.....

Selasa, 10 Mei 2011

Cepatnya masa berlalu

Pejam celik, pejam celik dah malam Rabu. Hari baru bagi orang Islam bermula dengan masuknya waktu maghrib. Tak sedar cepatnya masa berlalu. Begitulah tandanya hari kiamat semakin menghampiri. Itu juga tanda umur semakin sampai ke penghujungnya.
Sabtu malam Ahad lepas sempat bertemu dengan sahabat-sahabat di utara. Panjang perbincangan yang berlangsung. Semuanya berkisar untuk memakmurkan usaha dakwah dan mengenang kisah-kisah lama selain merancang usaha-usaha untuk masa hadapan. Pertemuan itu walaupun singkat amat bermakna.
Hari Ahad pula di Sekinchan, menziarahi mertua. Sempat bertanya khabar dan bertemu mata dengan orang tua memohon berkat dan doa semoga sentiasa dalam rahmat Allah. Selain itu, dapat juga merasa ketam dan ikan segar Sekinchan. Tambah sedap dengan pengat pengat pisang, nasi lemak dan pulut dengan sambal udang semasa sarapan.
Sampai di rumah maghrib selepas singgah makan malam di Warung Dusun. Segala persediaan untuk kerja esok harinya dipersiapkan sepantas mungkin walaupun kepenatan masih menyengat.
Hari Isnin pula adik minta tolong ambil dari tempat kerja di Cyberjaya kerana kawan yang ditumpanginya EL. Sudahnya tak sempat nak ke alam maya melainkan melalui Nokia C3 yang baru dibeli dengan harga RM350 menggantikan Nokia N95 yan rosak buat kali kedua. Kali pertama dibaiki di Jalan Reko kosnya RM150. Baiki benda yang sama di Sekinchan kosnya RM70 sahaja. Beza sungguh kos di bandar dan pekan. Menyebabkan diri mula terfikir, perlukah berhijrah lagi untuk menyayingi kos hidup yang tinggi di bandar kini.
Bercakap tentang kos sara hidup, petang tadi seorang rakan sekerja berlelucuan; negara sambut kejayaan wawasan 2020 terlalu awal. Saya yang terpinga-pinga diberikan penerangan; Malaysia sambut kenaikan harga mnyak 20sen dan gula 20 sen, maka dikaitkan dengan dengan Wawasan 2020. Nakal juga kawan saya seorang ni, tapi dalam sekali maksud lawaknya.
Dalam kesibukan duniawi ini, membuatkan kita terfikir, sejauh manakah persediaan kita untuk ukhrawi yang kekal abadi. Semoga Allah memberikan petunjuk-Nya kepada kita semua.

IT: Lepas ni jadual makin padat. Harap-harap dapat istiqamah dalam apa jua pekerjaan.

Khamis, 5 Mei 2011

Sungutan Petang Hari

Sekali lagi minyak RON 97 naik harga. Saya sangat sedih kerana saya menggunakan minyak ini sebelum ni. Selepas beberapa kenaikan, saya gunakan minyak ni sekali sekala. Kenaikan yang terakhir, saya gunakan sekali atau dua. Naik lagi! Guna sekali 2 bulan la nampaknya. Ekonomi dikatakan semakin baik, saham naik bermata-mata, tapi kenikmatannya tak berapa dirasai. Entahlah, mungkin saya seorang sahaja yang bersungut di petang hari, orang lain okay je......

IT: kena minta tukar cepat-cepat ni.

Isnin, 2 Mei 2011

Garapan Sesudah Subuh

Sarapan pagi di Restoran Mamak sebelum bertolak ke PD
Seluruh urat tubuh masih terasa sakit ketika bangun tidur untuk solat subuh tadi. Penat Hari Keluarga di PD masih terasa. Benjol di kepala pun masih terasa sakit lagi. Terhantuk kepala Budin semasa “banana boat” diterbalikkan. Mungkin Budin pun masih sakit lagi. Itulah yang seronoknya tentang hari keluarga; penat, sakit, lenguh tapi seronok dan mampu membuatkan kita tersenyum mengenangkannya.
Banana boat diterbalikkan.
Terima kasih Kamil kerana belanja ride ni.
Asalnya Hari Keluarga SMKTP ini hanyalah Hari Keluarga semata-mata tetapi setelah banyak pertimbangan, ia digabungkan dengan program “Team Building”. Oleh itu, saya minta isteri saya mengajak adik-adiknya ikut serta. Boleh dibuat teman ketika saya dalam program “Team Building” selain dapat merapatkan hubungan kekeluargaan. Maklumlah, masing-masing sibuk dengan kerja. Jarang dapat berkumpul ramai-ramai begini. Namun, mak mertua dan pak mertua tak dapat ikut sama kerana mak mertua kurang sihat. Begitu juga biras saya; Saufi, pun tak dapat hadir kerana tuntutan kerja.

Jumaat, 29 April 2011

Catatan Sesudah Isyak

Esok semua guru SMKTP dan staf akan berangkat ke Port Dickson untuk Program Hari Keluarga dan LADAP. Semoga semua selamat sampai dan pulang dan ditunjukkan jalan yang lurus untuk ke Permaisuri Resort serta dijauhkan dari kesesatan.
Kepada yang muslim dan tinggal di Hulu Langat dan Ampang, jarak anda layak untuk solat jama’ dan qasar. Yang tingga di Cheras, Kajang dan Bangi anda tak layak nak solat jama’ dan qasar. Jangan ada pula yang nak tipu Tuhan dengan pusing bangi 4, 5 kali sampai cukup 2 marhalah. Selain itu, untuk melayakkan kita solat jama’ dan qasar, niat kita mesti betul; antaranya untuk merapatkan ukhuwah dan menuntut ilmu.
Kepada jawatankuasa pengelola, tahniah atas usaha anda selama ini. Esok akan berlangsungnya apa yang kita usahakan berbulan-bulan sebelum ini. Tinggal sedikit sahaja lagi. Mari kita sama-sama buat yang terbaik, insya Allah.

Rabu, 27 April 2011

Hari Keluarga dan LADAP

Permaisuri Resort
Dua hari lagi akan berlangsung Hari Keluarga dan LADAP di Port Dickson. Akhirnya, tibalah masa berlangsungnya program penuh kontroversi ini setelah diusahakan bersungguh-sungguh dengan darah peluh dan air mata.
Master Bedroom, 3 rooms apartment
Petang tadi Cik Tanty dari Permaisuri Resort telah datang untuk berbincang dan membuat keputusan-keputusan akhir dengan AJK Kelab Guru dan Staf untuk kelancaran program hujung minggu ini. Kini, segalanya telah selesai dibincangkan. Insya Allah, program Hari Keluarga dan LADAP hujung minggu ini akan berlangsung dengan jayanya.

Antara hidangan di Cofee House Permaisuri Resort

Nasi goreng Permaisuri
Mee goreng mamak
Kepada guru-guru SMKTP, jangan bertolak lewat sangat, hujung minggu ni ada Pesta Air di Port Dickson, nanti terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Bengkel Sains

Pelajar sedang menjawab soalan

Sedang menunjukkan cara menjawab kepada pelajar.


Hari sabtu yang lepas, satu bengkel Sains telah diadakan untuk para pelajar Tingkatan 3. Senarai nama untuk peserta bengkel itu panjang sekali. Walaupun ada yang tidak hadir, tetapi kehadiran hari itu tetap ramai. Dengan 3 orang guru mengendalikan bengkel itu, saya rasa bengkel itu telah mencapai objektifnya. Diharap para pelajar yang menyertai bengkel itu memperoleh sesuatu yang bermanafaat daripada bengkel itu. Kongsilah ilmu yang diperoleh dengan rakan-rakan yang tidak dapat hadir kerana ilmu  yang dikongsi tak akan habis bahkan akan makin bertambah.

Rabu, 20 April 2011

Kursus Pengawas

Petang tadi berlangsungnya Kursus Pengawas di Dewan Sekolah. Akhirnya kursus ini berjaya dilaksanakan setelah beberapa kali tertangguh. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat; pihak pentadbiran sekolah, Pn Emi, Ustaz Bakhtiar, Ustazah Halidah, En Adib, En Akid, Cik Zurida, Cik Ilyanis, Cik Aisyah, para pengawas sekolah dan semua yang terlibat secara langsung, mahupun tak langsung. Jasa anda semua Allah sahaja yang boleh membalasnya. Terima kasih juga kepada guru-guru yang memberikan sokongan moral, idea dan cadangan.

Berikut adalah sebahagian gambar sekitar kursus tersebut:





Semoga para pengawas dapat mengambil pengajaran bermakna daripada kursus ini.

Selasa, 19 April 2011

Selepas Waktu Kerja Rasmi

Hari ini amat padat. Begitulah kebiasaanya saban tahun. Bulan Januari hingga Mei adalah waktu-waktu padat bila bergelar cikgu. Cumanya tahun ini mungkin akan lajak hingga ke Julai kerana arahan dari atas, Kejohanan Olahraga Tahunan mesti dilewatkan. Alasannya adalah untuk menjayakan dasar satu sukan satu murid kerana sukan tahunan pada awal tahun mungkin menyebabkan pelajar tak bersukan lagi selepas itu. Mungkin ada yang setuju dan tak kurang juga yang tidak bersetuju. Mungkin boleh dibuat perbincangan secara ilmiah dan realistik tentang perkara ini.

Namun begitu, yang pentingnya hari ini saya sedikit lega kerana tugas rasmi untuk hari ini telah selesai. Jarang sekali kesempatan seperti ini muncul pada waktu-waktu begini setiap tahun. Alhamdulillah......

Hari esok ada Kursus Kepemimpinan Pengawas. Masih ada peralatan yang belum lengkap; kelapa tua, batu-bata, dan belon. Tadi ada pelajar berjanji nak carikan kelapa tua. Susah juga nak cari pokok kelapa tengah hutan batu ni. Tapi, bukanlah mustahil.

Harap-harap kursus hari esok akan berlangsung dengan baik. Pada saya, para pengawas tahun ini sudah bagus tetapi seperti mana-mana organisasi, sempurna itu satu utopia sahaja. Namun, kursus ini diadakan dengan tujuan untuk meningkatkan lagi kecemerlangan para pengawas ini. Insya Allah.

Isnin, 18 April 2011

Kalam Tengah Malam

Hari ini masa banyak dihabiskan dengan berehat dan merancang. Esok bermula hari baru pada minggu baru yang pasti lebih sibuk. Sudah terbayang jalan raya dan lebuh raya sesak yang akan ditempuhi pagi esok dan jalan raya dan lebuh raya yang sama pada sebelah petangnya. semoga perjalanan esok selamat pergi dan balik.

Esok, beberapa perkara perlu dibuat; senarai nama pelajar untuk bengkel pada hari Sabtu perlu disediakan, Cik Tanty dari Permaisuri Resort perlu dihubungi untuk pengesahan Program Hari Keluarga, jam 2 petang ada temujanji dgn pembekal untuk Kelab Guru dan Staf, selepas itu ada latihan untuk Rumah Bentara, dan boleh balik mungkin pukul 5 petang (harapnya lebih awal).

Namun begitu, bila difikirkan, semoga Allah terima ini sebagai ibadah kepada-Nya. Harap-harap boleh jadi "fix deposit" semasa berada atas timbangan-Nya nanti. 

Kerana hari ni dapat tidur siang, malam ni mata kurang mengantuk. Akan tetapi, masa menghimpun daya sudah sampai. Jadi, mata ni kena dipaksa pejam. Ilal liqa'.

IT: Dengan nama Allah, aku hidup dan aku mati......  

Sabtu, 16 April 2011

Catatan Tengah Malam

Sampai di rumah selepas maghrib setelah “drop of” Latif di Keramat. Semasa di Keramat sempat menonton berita Astro Awani dan melayari internet. Keputusan pilihanraya di Sarawak memberikan satu pengajaran kepada saya; jika kita berjanji, kita mesti tunaikan. Jika tidak, kita akan dibenci. Itu yang terjadi kepada beberapa ahli politik di Sarawak, ada yang gagal mempertahankan kerusi DUN yang dimenangi sebelum ini antaranya adalah kerana ada orang yang tidak menunaikan janji yang pernah dibuat.

Bercakap tentang janji, teringat kuliah hadith dua minggu lepas di surau apartmen saya. Ustaz Bakhtiar dalam membincangkan Hadith berkenaan niat ada menyentuh tentang tanda-tanda orang munafik; apabila bercakap, berbohong, apabila berjanji, dimungkiri dan apabila bergaduh, dibesar-besarkan. Oleh itu, janganlah kita mudah menabur janji, takut tak dapat dipenuhi. Peringatan ini adalah untuk saya sendiri terutamanya.

Semoga hari esok lebih baik daripada hari ini.

IT: Takut jadi munafik. Nanti kena bakar di dasar neraka. Nauzubillah.....

Sisipan pagi

Hari ini ke Shah Alam menghantar Latif (adik ipar) untuk temuduga Fakulti Seni Lukis dan Grafik UiTM. Perjalanan seawal jam 7:15 pagi berjalan lancar dengan trafik yang tidak begitu sibuk. Cumanya subuh tadi tidak begitu ramai yang berjemaah di surau seperti hari-hari lain. Mungkin ramai yang pulang ke kampung minggu ini.

Perjalanan ke Shah Alam diiringi oleh kupasan keindahan Islam oleh Dr Muhaya di ruang udara IKIM.fm sangat menyegarkan. Mengingatkan diri betapa Islam itu indah dan mengajar penganutnya juga berkelakuan indah. Terima kasih Dr. Muhaya, semoga Allah membalas perkongsian Dr. dengan balasan yang baik di akhirat kelak.

Tanpa disedari, tempat yang dituju sudah sampai. Kami mencari tempat parkir kereta. Bagusnya UiTM kerana menyediakan tunjuk arah unuk tempat parkir, tetapi kami kebingungan di tempat parkir tersebut. Ini kerana tiada penunjuk arah untuk ke tempat temuduga. Beberapa keluarga juga mengalami nasib yang sama. Turun naik tangga, tempat yang dituju tak juga nampak di mata. Akhirnya, seorang kakak (mungkin pekerja am) menjadi penyelamat. Mungkin tahun depan, pihak berkenaan boleh letakkan penunjuk arah. Kesian kepada pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang turun naik tangga tadi : )

Selepas Latif memasuki ruang pendaftaran, kami bergegas ke kereta semula. Hujan semakin lebat. Di parkir kereta, rombongan mencari tempat temuduga masih berterusan. Dah macam acara marathon pula, masing-masing mencari arah. Beberapa orang penjaga bertanyakan arah tempat temuduga. Saya hanya tersenyum sambil menunjukkan arah yang perlu diikuti. Kesian mereka. Ada yang bercakap macam orang Kelantan dan ada yang berbunyi loghat Jawa, dari Johor agaknya, takpun dari Sungai Besar.

Inilah akibatnya jika tiada penunjuk arah. Teringat kata-kata Dr Muhaya tadi, Al-Quran dan Hadith adalah petunjuk kepada kita di dunia ini.

Kami bergegas mencari tempat santai yang bersesuaian. Tak sabar nak ke alam siber melihat perkembangan di Sarawak kerana ada muka yang saya kenali bertanding sama kali ini.
bersambung ......

Jumaat, 15 April 2011

Salam Perkenalan

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,
Salam perkenalan buat semua. Terima kasih kepada Abe Deen dan Abe Syazwan kerana membantu saya yang baru bertatih dan belajar memblog. Semoga pengetahuan yang kita kongsi akan bermanfaat kepada kita semua untuk mendapat redha Allah.

Salam ukhuwwah,
Ibnu Tukiman.