Khamis, 22 Mei 2014

Bandung Trip 2014 Episod 2


Bandung- Syurga membeli-belah?

Benarkah? Tidak semestinya. Bergantung kepada kemahiran kita mengira kadar persamaan nilai matawang dan kemahiran menawar (khususnya di pasar baru dan Jalan Cibaduyut). Bagi saya kalau harga barangannya tidak jauh beza dgn di Malaysia, lebih baik beli di Malaysia. Kurang pengaliran wang keluar dan tak perlu angkat beg berat-berat.

Telekung, pakaian dan kain di sini memang murah tapi hati-hati membeli kasut, handbag dan barang berjenama. Jangan nanti terbeli barang yang harganya sama atau lebih mahal daripada harga di Malaysia.

Bandung Trip 2014 Episod 1

Alhamdulillah 25-30 Mac lepas saya berpeluang ke Bandung dengan isteri dalam lawatan anjuran Kelab Guru dan Staf SMKTP. Menarik juga lawatan ke Bandung ni tapi secara peribadi saya mengharapkan sesuatu yang "lebih". Bayangan yang saya dapat daripada pembacaan blog dan cerita rakan-rakan dan saudara mara yang pernah ke sana rupanya tidaklah sama sangat.

Rombongan kami bertolak dengan penerbangan malam sebab harga lebih murah, lebih sejuk dan lebih santai. Sebahagian ahli rombongan naik penerbangan jam 8:30 dan saya jam 10 malam.
Sempat "selfie" di LCCT sebelum berlepas ke Bandung
1. Setelah sampai apa perlu buat dulu?

Khamis, 16 Ogos 2012

Cukupkah Markah Untuk Bergraduasi?

Hari ini aku sudah mula bercuti. Walaubagaimanapun, isteri masih berkerja hari ini kerana guru besarnya tidak mahu memohon cuti berganti untuk hari khamis. Mungkin GB beliau ada strategi tersendiri, mengapa berbuat sedemikian sedangkan orang lain tidak lepaskan peluang untuk bercuti. 

Dalam waktu yang diam ini, amat sesuai rasanya untuk bermuhasabah diri, cukupkah amalanku Ramadhan tahun ini untuk melayakkan aku bergraduasi Syawal nanti? Hisab diri ini sebenarnya amat baik untuk kita membuat "post-morterm" supaya kelemahan diri dapat diperbaiki. Hasil analisis SWOT yang dibuat tak menjadi keperluan pun untuk dikongsi dengan orang lain. Yang penting, kita sendiri yang mengambil iktibar, buat melakukan perubahan pada masa akan datang. Itu pun jika Allah masih izinkan untuk bertemu Ramadhan tahun hadapan.

Tinggal di sempadan Kajang-Bangi ini menjadikan mindaku lebih terbuka. Alhamdulillah, Allah beri aku peluang untuk lebih jelas antara adat dan ibadat. Maklumlah, dikelilingi pelbagai institusi pengajian tinggi, tempat berkumpul ramai orang cerdik pandai. Maka, pencerahan dan pemurnian agak baik dengan menyuburnya ceramah, tazkirah, dan usrah. 

Antara adat "orang kita", bulan Ramadhan mesti ke surau dan masjid untuk solat terawih berjemaah. Kalau tak ke surau dan masjid, alamatnya tak solat terawihlah jawabnya. Bila diberi pencerahan, boleh solat terawih sendiri, timbul persoalan; macam mana nak selawat? Sebenarnya, tiada syarat pun solat terawih perlukan selawat. Selawat tu hanyalah kebiasaan "orang kita" di sini. Maknanya, terawih itu mudah kerana Islam itu tidak menyusahkan.

Lebih malang lagi apabila ada yang solat isyaknya sendirian di rumah tapi terawihnya berjemaah. Sebab itu kadangkala berlaku di sesetengah tempat, saf terawihnya lebih banyak dari saf isyak. Kan terbalik tu? Yang sunat dilebihkan sedangkan yang wajib tak dibuat.

Begitu juga muslimat. Jika hadir solat terawih di surau dan masjid tetapi mendatangkan fitnah, lebih elok solat di rumah sahaja. Bukan bermaksud menghalang muslimat solat terawih berjemaah, tetapi ketika mengerjakan solat terawih yang sunat, hendaklah dijaga yang wajib; bersolek, jangan berlebihan, aurat hendaklah dipelihara dan kalau isteri, pergi dengan izin suami.

Walaubagaimanapun, setiap usaha untuk mengimarahkan Ramadhan wajar dipuji. Jika perbuatan kita tidak tepat atau tidak kena caranya, kita perbaiki kerana kita bukan maksum. Kesilapan dan kelemahan kita memang banyak. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua supaya dapat melakukan yang terbaik di bulan mulia ini.

Berdasarkan semua ini, kita mungkin boleh mencongak; cukupkah markahku untuk bergraduasi setelah berakhirnya Ramadhan? Adakah aku lebih sibuk dengan pasar juadah atau beribadah? Atau mungkin juga aku sibuk dengan majlis berbuka puasa dan baju serta kuih raya berbanding terawih, tadarrus dan qiamullail? Bak kata nabil, "Lu pikirlah sendiri". 

Moga-moga Ramadhanku kali ini lebih baik daripada sebelumnya. Jika ini Ramadhanku yang terakhir, semoga Allah terima segala amalanku dan digolongkan aku dalam kalangan orang-orang soleh. Amin, Ya Allah....

Selasa, 14 Ogos 2012

Ramadhan

Bulan Ramadhan sudah mula sampai ke penghujungnya. Tahun ini Ramadhan rasa lebih singkat daripada tahun lepas. Mungkin kerana pelbagai program yang berlangsung setiap minggu; dengan bengkel, seminar, himpunan dan majlis berbuka puasa.
Menyambut Ramadhan tahun ini mula sibuk apabila En Azrin, pengerusi surau mencadangkan pembelian karpet baru untuk dewan yang digunakan sebagai dewan solat terawikh. Bermulalah episod mencari sebut harga dan memungut derma dan sumbangan. Alhamdulillah ramai insan berhati emas yang sudi memberikan sumbangan dan jumlah yang diperlukan cukup dalam masa yang singkat sahaja.
Selain itu, program yang pelbagai sepanjang Ramadhan ini menunjukkan bahawa masyarakat hari ini mempunyai kesedaran yang tinggi untuk mengimarahkan Ramadhan. Surau dan masjid penuh dengan jemaah. Program tadarrus, qiamullail dan tazkirah juga mewarnai aktiviti-aktiviti sepanjang Ramadhan.
Akan tetapi, terdapat juga yang bersikap sebaliknya. Lihat sahaja di Bazar Ramadhan, ramai yang berpakaian tetapi seperti bertelanjang, belum lagi sikap membazir dan berlebih-lebihan semasa berbuka, menjadikan saya rasa sangat "sayang" Ramadhan yang penuh berkat ini disia-siakan begitu sahaja.
Walaubagaimanapun, saya berharap Ramadhan tahun ini menjadi Ramadhan yang lebih baik daripada tahun lepas. Moga-moga selepas Ramadhan ini, kita semua mendapat keampunan daripada Allah. Amiin.

Rabu, 30 November 2011

Lawatan ke SAF 2011

Pagi tadi sempat ke perkarangan letak kereta Stadium Melawati untuk meninjau Selangor Agrofest (SAF) 2011. Walaupun tak berapa mahir dengan jalan di Shah Alam, tetapi dengan bantuan GPS, akhirnya sampai jua. Sempena cuti sekolah ni, elok juga melawat tempat-tempat begini. Mak dan adik-adik pun ikut sekali.
Namun begitu, yang sedikit menyedihkan ialah publisiti untuk program yang sebesar ini bagi saya amat kurang. Banner dan banting yang digantung hanya nampak setelah hampir sampai ke tempat yang dituju. Walaubagaimanapun, kehadiran cukup ramai walaupun hari bekerja. Keadaan ini membuatkan saya terfikir, kalau banyak publisiti lagi, mungkin lebih ramai yang tahu dan teringin untuk hadir.
Pada SAF 2011 kali ni, ada banyak pameran dan gerai-gerai yang menjual hasil tempatan. Memang sesuai untuk mereka yang ingin mendapatkan maklumat terkini tentang hasil pertanian dan penternakan selain mencuba hasil-hasil IKS yang enak dan dijual pada harga yang murah. Kepada mereka yang tinggal di Lembah Klang dan tercari-cari tempat untuk membawa keluarga sempena cuti sekolah ini, saya mencadangkan SAF 2011 untuk anda. Jauh lebih murah daripada memasuki Zoo Negara dan tak sejauh Cameron Highland.

Ar-Rahnu 2

Berkenaan tulisan saya tentang ar-rahnu dan kad kredit sebelum ini, ada beberapa respon yang saya terima. Antaranya ialah; pergi ar-rahnu memalukan; menggadai emas macam tak cukup duit. Jawapan saya mudah sahaja; memang tak cukup duit pun. Yang peliknya, meminjam dengan kad kredit juga sama; tak cukup tunai tapi kita tak malu menggunakannya.
Ini kerana kita telah kena “brainwash”; pakai kad kredit sesuatu yang membanggakan kerana nampak macam orang kaya tapi gadai emas di ar-rahnu memalukan kerana nampak macam orang miskin. Seperti cerita tentang tuan lembu yang mengembala lembunya dengan menaiki motor buruk dan dihon oleh sebuah kereta mercedes. Tuan lembu tu sebenarnya kaya sebab lembunya berpuluh ekor dan harga setiap ekor beribu ringgit. Tuan mercedes tadi belum tentu kaya, silap-silap kereta tu pun hutang bank (bank yg punya). Oleh itu, biarlah kita lagaknya tidak seperti orang berada sangat walaupun hakikatnya kita tidaklah miskin sangat.
Apabila mengenangkan kehidupan kita sehari-hari, pernahkah kita menghitung berapa banyak muamalat kita setiap hari yang tidak bercanggah dengan syariat; tiada unsur gharar, tiada unsur riba’ dan tiada penindasan? Sebagai ummat terbaik; ummat Islam, kita perlu menunjukkan contoh terbaik dalam cuba melaksanakan semua muamalat kita mengikut syariat. Kepada yang masih ada aaun konvensional, tukarlah ke akaun Islamik. Begitu juga halnya dengan kad kredit, sebolehnya kita tidak menggunakan yang bukan Islamik dan gantikan dengan yang lebih syari’e.

MST: Sekarang ni cerita lembu sedang hangat di pasaran. Mungkin boleh fikir untuk buat filem tentang lembu.....