6:00 pagi-
Bertolak ke Bandara Sultan Iskandar Muda
7:00 pagi-
Sarapan dan check-in
8:50 pagi-
Penerbangan pulang ke KLIA2
11:20 pagi-
Tiba di KLIA2
Isteri saya
bangun lebih awal, seawal 4 pagi rasanya. Sewaktu saya terjaga, kelihatan isteri
saya sedang menyusun bagasi-bagasi kami. Memang begitulah sifatnya sejak mula;
suka berkemas dan bersiap awal. Lebih kurang 10 minit sebelum subuh, tiba-tiba
kami rasa bergoyang. Goncangan ini agak kuat dan lama. Kami sempat bersoal
jawab, “awak rasa tak?” tanya saya. Dan “apa kita nak buat?” soal isteri saya.
Ketika
disoal, “ apa nak buat?”, saya hanya memandang anak yang sedang lena tidur.
Yang terlintas di fikiran saya ketika itu, hanyalah keselamatan anak dan
isteri.
Setelah
goncangan tamat, saya yang sudah berpakaian lengkap membuka pintu bilik. Saya
lihat bilik lain turut dibuka dan masing-masing seperti kebingungan tentang apa
yang perlu dibuat. Dalam keadaan bingung itu, azan berkumandang. Azan subuh itu
sangat syahdu bunyinya, seperti memohon bantuan dan petunjuk dari Tuhan.
Saya
bergegas kembali ke bilik dan menunaikan solat subuh segera setelah azan
selesai. Setelah kami selesai solat subuh, isteri saya mengejutkan anak yang
masih lena sementara saya keluar bilik sekali lagi untuk mendapatkan maklumat
lanjut. Sebelum keluar, saya sempat memasang tv dan memilih siaran berita namun
tiada sebarang berita tentang gempa bumi atau amaran tsunami.
Sebelum
sampai ke lif, saya bertemu dengan pengawal keselamatan hotel, dan bertanyakan
gempa yang kami rasai. Dengan tenang dia menjawab, “Itu biasa pak. Kami kan
Jepang (Jepun) nombor dua.” Dia juga memaklumkan tiada amaran tsunami
dikeluarkan.
Setelah
pasti tiada kecemasan, saya bergegas kembali ke bilik. Kelihatan isteri saya
sedang menguruskan anak. Saya mebantunya berkemas dan memastikan tiada barang
yang tertinggal. Setelah anak lengkap berpakaian kami segera turun dengan
kesemua bagasi kami.
Di lobi,
rupa-rupanya sudah ramai tetamu hotel yang berada di tempat berkumpul di luar
hotel. Ada yang berpakaian tidak sempurna dan masih bimbang untuk naik ke bilik
sedangkan kami selamba sahaja. Chandra juga sudah lama menunggu. Beliau begitu
bimbang dengan keselamatan kami sehinggakan kasut yang dipakainya juga dipakai
terbalik tanpa disedarinya. Beliau lebih bimbang bila mendapati kami tak turun.
Bimbang apa-apa yang buruk terjadi kepada kami.
Bagasi kami
segera diangkat ke dalam van dan kad bilik saya serahkan kepada Chandra.
Setelah semua selesai “check-out” kami segera bergerak ke Bandara Sultan Iskandar
Muda. Sepanjang perjalanan kami melihat ramai warga Acheh berada di tepi-tepi
jalan. Mungkin kerana bimbang gempa berulang agaknya. Pada ketika itu, kami
jangkakan gempa tadi hanya gempa biasa-biasa sahaja. Chandra juga lebih senyap
daripada biasa.
Sepanjang
perjalanan, kami semua agak senyap. Hanya suara Nufail yang kedengaran dengan
kebecokkannya yang tidak mengerti gempa yang baru kami lalui. Debaran dalam
hati saya juga masih bersisa, menyebabkan rasa tidak selesa yang berpanjangan.
![]() |
Di balai berlepas Bandara Sultan Iskandar Muda |
Sebelum
bersalaman dan saling berterima kasih, saya sempat mengambil nombor telefon
Chandra. Jika ada kesempatan, mungkin akan mendapatkan khidmat beliau lagi.
Setelah kami saling mengucapkan selamat, kami terus ke kaunter check-in. ketika
itu, kami menggunakan khidmat porter lapangan terbang untuk membawa bagasi
dengan upah RM10 seorang. Saya juga membungkus salah satu beg kami dengan harga
Rp40,000.
Selesai
check-in bagasi, kami naik ke tingkat atas. Kami bersarapan di kafe yang
terdapat di situ. Menurut kashier kafe itu, gempa pagi tadi adalah gempa
terkuat selepas tsunami 2004 dan perkhabaran awal yang diterima terdapat korban
nyawa. Kami hanya mampu bersyukur kerana dijauhkan daripada kemalangan dan
kecelakaan.
Selesai
sarapan, balai berlepas dibuka dan kami mula berbaris mendaftar masuk. Di dalam
balai berlepas, masing-masing menghantar berita bahawa kami selamat kepada
keluarga masing-masing.
![]() |
Selamat tinggal Acheh |
Caj parkir
untuk empat hari ialah RM158 = (RM46 x 3 hari) + (RM20 x 1 hari).
![]() |
Alhamdulillah selamat tiba di KLIA2 |
Konklusi
Permusafiran
ke Acheh tahun ini memberi pengajaran dan pengalaman yang bermakna kepada saya.
Betapa Allah itu Maha Kuasa dan Maha Pengasih. Semoga warga Acheh terus tabah
mengharungi hidup sehari-hari dan hari mendatang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan