Selasa, 20 Disember 2016

6 Disember 2016

9:30 pagi- Melawat Kubah Masjid Tsunami di tengah sawah
11:00 pagi- Melawat Masjid Rahmatullah, Aceh Besar
12:30 petang- Melawat Rumah Cut Nyak Dhien (pejuang Acheh yang menentang Penjajah Belanda)
1:30 petang- Mkan tengahari di Rumah Makan Syiah Kuala
2:30 petang- Solat di Masjid Raya Baiturrahman
3:00 petang- Melawat Muzium Acheh
4:00 petang- Melawat Taman Sari Gunongan
5:00 petang- Kembali ke hotel, himpunan daya dan solat
8:00 malam- Makan malam di REX Peunayong
9:00 malam- Ronda-ronda di sekitar REX Peunayong
10:00 malam- Balik ke hotel, berkemas untuk pulang

Kubah Masjid Tsunami
Bergambar di hadapan KUbah Masjid Tsunami
Hari ini merupakan hari terakhir kami boleh berjalan-jalan di sekitar Banda Acheh kerana penerbangan kami adalah pada awal pagi esok. Setelah sarapan di hotel, kami dibawa melawat Kubah Masjid Tsunami di sebuah kawasan kampung yang agak jauh dari Banda Acheh. Jalan ke sini agak sempit kerana jauh ke dalam dari jalan besar. Kenderaan besar seperti bas terpaksa diletakkan di jalan masuk dan pelawat boleh menaiki teksi motor yang disediakan.

Pemandangan sawah yang indah di sekitar kubah

Van kami boleh dipandu sehingga ke kawasan kubah masjid tersebut. Dalam perjalanan terdapat beberapa pelancong, lagaknya seperti orang Malaysia menunggang motor melalui jalan yang sama kerana bas mereka terpaksa diletakkan di jalan masuk sahaja. Jalan ini melalui kawasan sawah padi yang sangat cantik.


Wakaf kecil yang memuatkan pameran tentang tsunami
Setelah tiba di kawasan yang dimaksudkan, kami diberikan taklimat tentang kubah tersebut. Kubah ini berasal dari sebuah masjid di kampung lain tetapi telah dihanyut sehingga melanggar bukit di belakang kami sebelum dibawa oleh gelombang tsunami dari arah lain ke tengah sawah; tempat kubah itu berada sekarang.


Semasa kubah itu dihanyutkan, terdapat tujuh orang sedang berlindung di dalamnya dan terselamat. Memandangkan kubah itu sangat berat; dianggarkan seberat 80 tan, maka ia dibiarkan sahaja di situ selepas tsunami dengan kebenaran tuan tanah tersebut. Kini ia menjadi tempat tumpuan pelancongan. Bersebelahan kubah tersebut terdapat pondok kecil yang menempatkan beberapa gambar berkenaan tragedi tsunami yang melanda Acheh pada tahun 2004.
Gerai-gerai cenderahati di pintu masuk kawasan kubah
Selain itu, terdapat juga beberapa gerai yang menjual barang-barang cenderahati dan kuih-kuih. Sempat juga kami membeli belah di sini walaupun harganya sedikit mahal (antara 35 sen hingga RM5) daripada kedai-kedai di Banda Acheh. Tetapi niatkan sahaja membeli sambal menderma.
Peniaga cenderahati dan anak-anak

Akan tetapi, terdapat satu perkara yang menyedihkan saya; ibu-ibu di situ berniaga dengan anak-anak yang masih kecil. Ada yang mungkin baru nak tidur, makan  atau menyusu tetapi tertangguh sebentar kerana kami menjengah kedai ibu mereka. Cadangan saya, kalau ada yang hendak melawat ke tempat ini, bawalah bersama bauh tangan untuk anak-anak ini.

Maksud saya buah tangan seperti coklat atau buah-buahan yang mungkin sukar untuk mereka jumpa seperti anggur atau epal. Jangan pula bawa gula-gula murah yang kita sendiri tak sanggup nak bagi anak kita makan. Sebab mereka ni bukan gelandangan, cuma mungkin tak biasa dengan makanan yang sedikit sedap. Sempat saya bersembang dengan isteri saya, kalau bagi duit pun bagus tapi dengan hadiah sepeti coklat atau buah mungkin lebih menggembirakan anak-anak kecil ini.

Saya tinggalkan kampung tersebut dengan rasa yang berbelah bagi. Masih terbayang anak-anak kecil seusia anak saya digendong ibunya sambil ibunya bersungguh-sungguh mahu menjual “fridge magnet” kepada kami. Semoga urusan mereka dipermudahkan.

Masjid Rahmatullah

Masjid Rahmatullah

Destinasi kami seterusnya adalah Masjid Rahmatullah; salah satu masjid yang turut dilanda ombak tsunami tetapi masih berdiri kukuh. Masjid ini sudah diperbaiki tetapi sebahagian kawasan masjid dijadikan kawasan pameran dan masih mempunyai kesan tsunami seperti batu karang laut. Kami juga sempat mengerjakan solat sunat tahiyyatul masjid sebelum bertolak pulang. Kalau ada duit lebih, saya sarankan kepada yang ingin melawat masjid ini untuk memberikan sedikit saguhati kepada pakcik yang bertugas menguruskan masjid ini selain derma untuk tabung masjid.
Sebahagian ruang masjid dijadikan ruang pameran

Kampung ini telah musnah sepenuhnya semasa tsunami 2004. Alhamdulillah Kerajaan Turki bermurah hati untuk membina semula rumah penduduk di sini. Walaupun tidak begitu besar, tetapi cukuplah untuk mereka berteduh.
Sisa karang laut dalam Masjid Rahmatullah

Rumah Cut Nyak Dhien

Kami meneruskan perjalanan pulang ke Banda Acheh. Dalam perjalanan kami minta supir untuk berhenti di gerai menjual buah (keranji dan buah jambu air) dan gerai menjual kuih. Jambu airnya nampak cantik tetapi (masam) tinggi vitamin C.
Rumah Cut Nyak Dhien

Selepas gerai kuih, Chandra tiba-tiba membelok ke kiri. Rupa-rupanya dia membelok ke Rumah Cut Nyak Dhien; seorang pejuang Acheh yang terkenal berani menentang penjajah Belanda. Rumah ini kini memuatkan bahan-bahan pameran tentang sejarah perjuangan rakyat Acheh secara umum dan Cut Nyak Dhien secara khusus.

RM Syiah Kuala
Selesai melawat Rumah Cut Nyak Dhien, perut pun dah lapar. Kami terus ke RM Syiah Kuala. Selesai makan, kami ke Masjid Raya Baiturrahman untuk solat. Selesai solat, perjalanan diteruskan ke Muzium Acheh. Di sini terdapat Rumah Acheh (bentuk rumah hampir sama dengan rumah Cut Nyak Dhien) dan muzium yang menempatkan sejarah Acheh.

Muzium Acheh

DIhadapan Rumah Acheh
Terdapat perkhidmatan ambil gambar oleh jurugambar professional berlatarbelakangkan Rumah Acheh. Sekeping gambar dengan saiz A4 siap cetak mereka kenakan caj RM10. Bolehlah gunakan khidmat mereka kalau mahu. Tiada paksaan.

Ruang pameran dalam Muzium Acheh
Dalam muzium ni ada banyak sangat maklumat. Terdapat pegawai penerangan yang sudi mengiringi kita jika mahu. Beliau boleh menerangkan bahan-bahan yang dipamerkan di muzium ini. Rasanya untuk masuk ada dikenakan tiket tapi semua diuruskan oleh Chandra. Jadi, kami hanya berjalan, melihat dan bergambar.

Taman Sari Gunongan

Seterusnya kami dibawa ke Taman Sari Gunongan. Taman ini pada asalnya adalah tempat seperti taman larangan untuk puteri raja bermain. Puteri raja tersebut asalnya adalah tawanan perang kemudian dikahwinkan dengan sultan dan menjadi permaisuri. Cerita lebih terperinci boleh diperoleh daripada penyelia tempat ini. Sayangnya, kawasan ini seperti kurang diselenggara. Pada pendapat saya, jika diselenggara dengan baik, kawasan ini boleh menjadi suatu tempat tarikan pelancong.
Bergambar di hadapan "Gunongan"



Setelah memanjat binaan “gunongan” dan bergambar di sini, kami pulang ke hotel untuk urus diri sebelum makan malam. sesampainya kami di hotel, saya ke kedai makan bersebelahan hotel untuk mencuba air alpukat (avokado) dan air sirsak (durian belanda) yang dikatakan sedap oleh kawan isteri saya.

REX Peunayong

Malam itu, kami dibawa ke REX Peunayong untuk makan malam. REX Peunayong adalah suatu kawasan seperti medan selera yang menempatkan pelbagai kedai makan. Di sini saya memesan satay matang, dan isteri saya memilih nasi goreng seafood yang “tak pedas langsung” untuk dikongsi bersama Nufail.

Air sirsak@durian belanda (kanan) dan
air alpukat@avokado (kiri)
Sedang kami menikmati hidangan makan malam kami, tiba-tiba kami (kami dan pengunjung lain) didatangi oleh sekumpulan pengamen. Akan tetapi, pengunjung di sini tidak ambil peduli tentang mereka. Mereka ini juga tidak berwatak seperti orang Acheh kerana bertatu dan bersubang. Begitu juga dengan sebahagian pengemis yang kami temui di sini. Walaupun tidak ramai pengemis, tetapi beberapa pengemis yang ada di sini tidak seperti orang tempatan.

Ini kerana, berdasarkan lawatan kami hari ini, kami dapati orang Acheh ini wataknya pejuang, peniaga dan tidak suka meminta-minta. Jika pun mereka berkelainan upaya, mereka masih berusaha berniaga sekurang-kurangnya menjual jajan-jajan. Bukan hanya menadah tangan kosong dan mengemis.

Saya juga mengatakan mereka berwatak pejuang kerana leluhur mereka telah membuktikannya dengan keberanian mereka menentang penjajah Belanda, manakala generasi sekarang membuktikannya dengan terus bangkit dan membangun selepas bencana besar tsunami 2004. Oleh itu, amat malang jika Banda Acheh yang kini menjadi tempat tarikan pelancong, menjadi tempat tarikan pengemis dan pengamen.

Selesai makan, kami berjalan-jalan di kedai-kedai sekitar. Semasa melewati sebuah kedai kasut, isteri tertarik dengan kasut kulit yang dipamerkan. Harga pun murah, kasut kerja pun dah rosak “beyond repair”, maka kami pun menghadiahkan diri kami kasut kerja baru. Sebenarnya duit rupiah tak cukup untuk bayar harga kasut tu, tapi tuan kedai kata dia boleh terima wang ringgit, akad jual beli pun termetrai.

Kami sampai ke hotel lebih kurang pukul 10 malam. Nufail pun sudah penat. Selepas Nufail tidur, kami terus berkemas dan menyiapkan bagasi kami yang mana boleh kerana esok pagi Candra akan mengambil kami seawal 6 pagi. Jarak bandara (lapangan terbang) yang jauh memerlukan kami bergerak awal supaya tidak terkandas dalam kesesakan lalu lintas dan terlepas kapal terbang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan