Selasa, 20 Disember 2016

Pra Permusafiran ke Acheh

Pemusafiran kami ke Acheh kali ini berbeza dengan perjalanan kami ke Bandung sebelum ini kerana kali ini kami bermusafir bersama anak kami yang berumur setahun 11 bulan; umur yang tidak memerlukan kami membelikan tiket tempat duduk untuknya.

Selepas tiket dibeli oleh Abang Rosli, kami cuba untuk membuat “web check-in” tetapi tidak berjaya untuk isteri saya. Isteri saya perlu “check-in” di kaunter kerana membawa bayi. Untuk mengelakkan masalah kerana penerbangan kami pada awal pagi, kami telah ke KLIA2 pada 29 November 2016.

Kami pergi ke KLIA2 dengan dua tujuan; buat “check-in” di kaunter untuk isteri dan anak saya lebih awal (walaupun tahu memang tak boleh) dan nak tinjau KLIA2, itu tujuan utamanya. Maklumlah, kami bukan selalu naik kapal terbang. Tiada pengalaman di KLIA2. Ke bandung dulu pun naik di LCCT.


Alang-alang ke KLIA2, kami tinjau sekali Long Term Car Park (LTCP), hotel-hotel yang berdekatan, dan catat kadar “parking” di KLIA2. Ahli rombongan yang lain sudah buat tinjauan dan mereka buat keputusan untuk naik keretapi laju dari Putrajaya dan meletakkan kereta mereka di situ. Kami tak turut serta kerana kami memikirkan tentu leceh dan cerewet nak gendong anak yang masih kecil naik keretapi pada awal pagi.

Sebenarnya, kami telah menempah teksi untuk ke KLIA2 tetapi setelah pulang dari tinjauan di KLIA2, kami membuat keputusan untuk meletakkan kereta di KLIA2 sahaja kerana tempat letak keretanya selesa dan kosnya lebih kurang sama dengan kos sewa teksi ke KLIA2 pergi dan balik. Tambahan pula, berkenderaan sendiri lebih selesa dan kami tak perlu risau kalau anak meragam, nak berak, nak minum susu atau sebagainya.

Apabila pulang dari membuat tinjauan, kami cuba buat “web check-in” sekali lagi. Untuk saya berjaya dan untuk isteri tidak. Akan tetapi, kami dapati nama anak kami telah tersilap taip dengan terlebih satu huruf “d”. Kami terus membuat laporan pada laman web Air Asia untuk mengelakkan sebarang masalah untuk berlepas nanti.

Respon daripada pihak Air Asia agak pantas kerana selang beberapa hari selepas itu, Abang Rosli telah memaklumkan kami beliau telah menerima email daripada Air Asia dan nama anak kami telah dibetulkan. Selepas itu, isteri saya menyemak nama anak kami dengan cuba untuk “web check-in” dan kali ini berjaya.


Pucuk dicita, ulam mendatang. Tak sangka dengan membetulkan nama anak kami, urusan “web check-in” isteri saya menjadi mudah. Tanpa bertangguh, kami terus cetak “boarding pass”. Alhamdulillah. Untuk perjalanan pergi isteri saya menempah bagasi untuk 20 kg manakala untuk perjalanan balik, 20 kg untuk isteri saya dan 20 kg untuk saya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan