Selasa, 20 Disember 2016

4 Disember 2016

5:30 pagi- Check-in di KLIA2
7:55 pagi- Penerbangan dari KLIA2
9:30 pagi (8:30 pagi waktu acheh)- Tiba di Bandara Sultan Iskandar Muda, Banda Acheh.
Selepas ini menggunakan waktu Acheh
9:30 pagi- Dibawa supir (Ahmad Chandra) sarapan, Muzium Tsunami dan ronda-randa Banda Acheh.
1:00 tengahari- Makan tengahari, beli simpati Telkomsel (simkad Indonesia untuk plan data)
2:30 petang- Check-in Hotel Mekkah. Solat dan himpunan daya.
5:00 petang- Rehat-rehat di pantai Ulee Lheue.
6:15 petang- Membeli-belah di kedai-kedai sekitar Putra Acheh
7:00 malam- Solat di Masjid Raya Baiturrahman
7:30 malam- Makan malam di Restoran Wong Solo, “window shopping” di kedai-kedai bersebelahan
9:30 malam- Pulang ke Hotel Mekkah

Tempat letak kereta KLIA2
Pagi 4 Disember 2016, kami mula bertolak dari rumah lebih kurang 4:30 pagi ke KLIA2. Alhamdulillah, kami dapat “parking” di CP4 Blok B, aras yang sama untuk kaunter check-in. Apabila kami sampai ke kaunter “check-in”, orang sudah beratur panjang, tetapi teratur dan urusannya pantas serta selesa. Ini kelebihan KLIA2 berbanding LCCT dahulu.


Semasa bagasi kami ditimbang, beratnya hanya beberapa ratus gram lagi nak sampai 20kg. Ngam-ngam soi, kata orang. Sebenarnya kami sudah timbang menggunakan penimbang berat di rumah. Beratnya 18 kg lebih. Nasihat saya, timbang dahulu berat bagasi anda. Pastikan beratnya kurang sedikit daripada yang kita tempah. Takut nanti terlebih berat pula.

Beratur untuk check-in
Sedang kami berbaris, pengumuman dibuat bahawa sudah masuk waktu solat subuh. Selesai urusan di kaunter kami bergegas ke balai berlepas. Berdasarkan bacaan kami dari internet, di dalam kawasan balai berlepas memang ada beberapa musolla dan pelbagai jenis kedai. Jadi, tidak timbul masalah untuk solat atau mendapatkan sarapan pagi.

Selesai solat subuh, isteri saya ambil peluang untuk urus anak. Di sini memang ada disediakan tempat untuk tukar lampin bayi. Seterusnya kami mencari kedai makan dan terjumpa kedai yang menyediakan nasi lemak. Maklumlah, perut Melayu katakan. Nasi lemak kosong, nasi lemak rendang ayam dan air kosong dua berharga lebih kurang RM8. Tidaklah mahal sangat walaupun tak murah.

Nufail buat "peace" sebelum makan nasi lemak
Air kosong bukan sebab nak berjimat tetapi saya memang sedang diet gula sekarang. Lagipun, kami akan cuba seboleh mungkin untuk tidak mengambil air manis di depan anak untuk mengelakkan dia minta. Berkenaan pengambilan gula ni pun seronok nak kongsi tapi mungkin dalam entri yang lain. Itu pun kalau saya rajin nak menulis tentangnya.

Sedang kami bersarapan, ahli-ahli rombongan yang lain juga sampai. Hafizah dan suaminya Azizul, Abang Rosli, isterinya Kak Amisah, anak mereka, Jannah, kakak Abang Rosli dan anaknya Aina. Campur dengan kami bertiga, saya, isteri dan anak, semuanya 10 orang.

Selesai sarapan, kami urus diri di tandas dan terus ke pintu berlepas yang berkenaan. Kelihatan penumpang kapal terbang yang sama sudah berbaris untuk memasuki pesawat. Kami sekeluarga adalah antara yang terakhir kerana kami ada terbaca tips; jika membawa anak kecil, elok beri ruang penumpang lain naik dahulu supaya anak kita tidak “stress” dengan kesibukan penumpang lain dan kita boleh “take our own time” kata omputih.

Untuk isi masa dalam kapal terbang, isteri saya telah sediakan macam-macam dariapada sticker, cop pelbagai bentuk dan papan lukisan untuk anak saya. Bahkan senjata terakhir kami; Samsung Galaxy Tab juga turut dibawa jika semua tidak berjaya. Alhamdulillah, anak saya tak banyak ragam bahkan begitu teruja melihat kapal terbang yang pelbagai di KLIA2. Bahkan, tak lama setelah berlepas, dia mula menguap dan tidur. Dapatlah saya dan isteri melelapkan mata sebentar.
Dalam kapal terbang

Apabila tiba di Bandara Sultan Iskandar Muda, pak supir dan rakannya sudah menunggu. Selepas memperkenalkan diri, Ahmad Chandra mula membantu kami memunggah bagasi ke dalam van parawisata (van pelancongan) beliau. Di bandara ini memang terdapat bantuan porter, tetapi kami tak menggunakannya kecuali semasa pulang. Porter di sini pun lebih sopan dan tidak terlalu mendesak.

Candra peramah orangnya dan suka berlelucuan. Antara soalan pertamanya adalah sudah sarapan ke belum. Walaupun kami sudah bersarapan, tetapi hanya kami sekeluarga sahaja yang bersarapan berat. Jadi, Chandra telah membawa kami untuk bersarapan di sebuah kedai makan dalam perjalanan. Asalnya untuk makan nasi bebek (itik) tetapi itik telah habis, hanya ayam yang ada.
Sarapan pagi setibanya di Acheh

Bagi saya makanan Acheh ni lebih kurang sahaja dengan makanan Malaysia cuma lebih sihat; kurang masin dan kurang manis. Kami pelawa juga Chandra dan kawannya untuk makan bersama tapi mereka menolak kerana sudah makan kata mereka. Sarapan pagi kami bayar sendiri, atau lebih tepat Abang Rosli yang belanja kerana tiada dalam pakej.

Selesai sarapan, kami terus dibawa ke Muzium Tsunami. Sepanjang perjalanan, kami berbual dengan Chandra. Kami diberitahu Chandra dan rakannya memandu selama 12 jam dari Medan untuk mengambil kami. Rupa-rupanya mereka tinggal di Medan! Saya dah mula bimbang, adakah mereka tahu jalan-jalan di Banda Acheh ni? Tapi menurut Chandra, dia memang biasa bawa pelancong Malaysia di Acheh. Bahkan bukan Acheh sahaja, tetapi juga di Medan dan Padang. Dan terbukti memang Candra bercakap benar. Dalam tempoh kami di Banda Acheh, memang jelas dia biasa dengan jalan-jalan di sekitar Banda Acheh.

Muzium Tsunami

Bergambar di pintu masuk Muzium Tsunami
Muzium ini luas, pastikan anda mempunyai stamina yang cukup untuk menerokainya. Uniknya, muzium ini bukan sahaja direka untuk mengingati tragedi tsunami yang melanda Acheh pada tahun 2014 tetapi turut direka untuk menghadapi tsunami jika berlaku sekali lagi. Tempat ini mempunyai info yang banyak tetapi sayangnya kurang penyelenggaraan. Terdapat beberapa skrin yang telah rosak dan bahan pameran yang sudah rosak. Tayangan videonya (dalam teater) juga mungkin patut diperbaharui supaya lebih baik dan berkualiti.

Kedai cenderamata (souvenier) di muzium ini juga bagus. Harganya tak banyak berbeza dengan kedai-kedai cenderahati yang lain. Saya hanya tahu selepas ke kedai-kedai cenderahati yang lain selepas itu.
Perlu diingat, kalau perbezaan harga Rp1000, nilainya baru lebih kurang RM0.35 (35 sen). Jadi kalau beza barang Rp3000, sebenarnya baru RM1. Isteri saya sempat membeli jambu potong bernilai Rp5000 (tak sampai RM2) sebekas di gerai berhampiran. Di Malaysia mungkin dijual dalam RM2.
Makan tengahari

Ayam tangkap
Seterusnya, kami dibawa ke PLTD Apung tetapi ditutup sehingga pukul 2 petang (pukul 3 Malaysia). Kami dibawa pula ke sebuah rumah anak yatim berdekatan yang dibina asasnya oleh orang dari Malaysia tetapi Ustaz yang menjadi pengurus rumah itu keluar. Jadi, Chandra mencadangkan kami untuk makan tengahari. Hidangannya enak dan restorannya juga elok. Cuma saya lupa mencatatkan nama restoran tersebut.
"Fish", tunjuk Nufail
Rumah makan ni ada kolam ikan


Pelbagai lauk
Selesai makan tengahari, kami dibawa ke kedai telefon untuk membeli simpati Telkomsel. Saya membeli simkad yang berharga Rp65,000 (lebih kurang RM20) untuk data plan sebanyak 4GB. Saya masukkan simkad ke dalam tab anak saya dan buka tethering untuk menjadi portable wifi hotspot. Saya dan isteri kini sudah boleh mengakses internet. Akan tetapi, sehingga pulang pun, data kami masih banyak berbaki. Mungkin 2GB sudah memadai kerana kami tidak punya banyak masa pun untuk melayari internet. Walaubagaimanapun, Nufail puaslah menonton Masha and The Bear di youtube.

Hotel Mekkah

Destinasi seterusnya, Hotel Mekkah. Hotel ini agak cantik cuma biliknya mungkin sedikit berbau. Tetapi secara keseluruhan memuaskan. Menurut seorang pekerja kedai cenderamata, hotel ini hotel yang bagus dengan harga yang bagus; “ada bintang” katanya. Perkhidmatannya juga bagus. Isteri saya meminta seterika untuk menggosok tudung (biasalah orang perempuan), tetapi tidak diberi. Sebaliknya kami boleh meminta mereka gosokkan. Upahnya pun tidaklah mahal, lebih kurang RM1.50 sehelai tudung.
Ruang di lobi Hotel Mekkah


Seperti biasa, apabila check-in hotel, kami suka melihat perkhidmatan yang ditawarkan terutamanya makanannya. Harga makanan di hotel ini tidaklah begitu mahal seperti hotel-hotel biasa. Maknanya, tidaklah sukar kalau kami tiba-tiba lapar di tengah malam.

Aktiviti santai petang ke malam

Pukul 5 petang, Candra dan rakannya datang mengambil kami untuk “lepak” di Pantai Ulee Lheue. Pantai ini penuh dengan aktiviti manusia. Yang menarik di sini ialah bot itik, air kelapa, satay, jagung bakar dan pemandangan menghadap Lautan Hindi yang indah. Kami tak berlama-lamaan di sini dan perjalanan diteruskan ke kedai cenderahati Putra Acheh.
Penjual satay di Pantai Ulee Lheue

Ronda-ronda pantai

Nufail dengan belon Boboiboy

Semasa di kedai cenderahati, azan maghrib berkumandang. Kami bersegera menyudahkan beli-belah yang tak seberapa dan bergerak ke Masjid Raya Baiturrahman untuk solat. Masjid ini antara masjid yang selamat daripada tsunami dan kini sedang dalam ubahsuai. Mereka sedang memasang payung gergasi yang boleh dibuka dan ditutup seperti di Masjid Nabawi.

Jemaah yang solat di sini memang ramai tetapi ruang solat untuk Jemaah wanita adalah terbuka di tengah-tengah. Saya tak pasti tentang tempat wudhuk untuk jemaah wanita tetapi kalau di Bandung dulu memang agak terbuka. Isteri saya tidak solat di sini tapi solat di hotel.
RM Ayam Penyet Wong Solo

Selesai solat, kami ke makan malam di Rumah Makan Ayam Penyet Wong Solo. Makanannya sedap dan menurut kata Azizul lebih sedap daripada restoran Wong Solo di Malaysia. Selesai makan, kami sempat lagi “window shopping” di kedai-kedai berhampiran sebelum dihantar pulang ke hotel.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan