Isnin, 15 Ogos 2011

Kepentingan Wasiat Mengikut Pemahaman Saya



Pada hari Sabtu lepas, 13 Ogos 2011, saya dan isteri telah menghadiri suatu program berkenaan pengurusan pusaka di Masjid Hasanah, Bandar Baru Bangi. Pada majlis tersebut, telah diterangkan secara ringkas dan padat tentang 3 perkara:
1. Kenapa berwasiat itu penting?
2. Bagaimana nak buat wasiat?
3. Bagaimana takaful membantu sebelum harta pusaka dibahagikan?

Kenapa wasiat itu penting? Untuk menjawab persoalan ini, kita mesti terlebih dahulu mengetahui apa yang terjadi jika seseorang itu meninggal dunia. Apabila seseorang dah arwah, semua harta benda atas nama si arwah akan dibekukan seperti tanah, rumah, kereta, duit di bank. Semua harta ini dibekukan sehinggalah harta ini selesai dibahagikan. 


Bagaimana harta yang ditinggalkan akan dibahagikan? Harta yang ditinggalkan akan dibahagikan:
1. mengikut wasiat (jika tiada bantahan)
2. mengikut kesepakatan pewaris (jika sepakat)
3. mengikut faraid

Jika tiada wasiat, semua yang layak mewarisi harta arwah perlu hadir bersama ke mahkamah dan mereka perlu melantik seorang atau dua orang pentadbir harta sementara. Tugas pentadbir harta adalah mengurus harta arwah untuk dibahagikan secara sepakat atau faraid. Setelah itu, mahkamah akan beri tarikh lain untuk melihat persetujuan pewaris berkenaan pembahagian harta. Jika semua yang menjadi pewaris sepakat, proses ini tidak begitu lama, mungkin ambil masa beberapa tahun. Jika ada pewaris yang mati, waris kepada pewaris yang mati (semua generasi kedua) perlu hadir. kalau jadi kes seperti ini, akan berlanjutan sehingga berpuluh tahun. Contoh yang berlaku pada pemilik tanah Kampung Baru, KL.

Seorang pemilik sekeping tanah di Kampung Baru telah meninggal, tanah itu layak diwarisi oleh 8 anaknya. Mereka membuat tuntutan di mahkamah untuk menguruskan tanah tersebut. Dalam proses tersebut, 2 orang anaknya pula mati. Maka tuntutan baru pula perlu dikemukakan kepada mahkamah dengan memasukkan anak-anak(cucu kepada pemilik asal) kepada 2 orang anak yang meninggal sebagai waris. Tiba-tiba ada pula tak setuju dengan pentadbir harta yang dicadangkan(tak sepakat), terpaksa lantik pentadbir baru. Sebab itu ada kes yang berlanjutan selama 30 tahun. Walaupun tanah itu kecil, tapi harganya berjuta.

Bagaimana jika pemilik asal tanah kampung Baru tersebut ada wasiat? Selepas kematian arwah, trustee(lawyer atau syarikat pengurus wasiat) akan memohon grant probate daripada mahkamah (beberapa bulan;3-5 bulan kalau tak silap). Setelah dapat grant probate, wasiat akan dibacakan kepada semua pewaris yang layak. Jika ada yang tak setuju, mereka (pewaris-pewaris) perlu mendapat persetujuan bersama. Jika tak setuju juga, jalan terakhir ialah pembahagian secara faraid. Melalui cara ini, paling lama pun 3 tahun dah selesai.

Bandingkan dengan orang kebanyakan (makan gaji) macam kita. Kebiasaannya kita akan ada satu rumah, satu kereta, simpanan bank dan tabung haji. Jumlah semua ni tak sampai sejuta pun, setengah juta pun belum tentu, tapi lebih 100 ribu la kan. Katakan kita arwah (setiap yang bernyawa akan mati), semua harta kita dibekukan dan kita tak buat wasiat.
1. Jika ada anak lelaki, harta akan dibahagikan antara isteri dan anak-anak.
2. Jika tiada anak lelaki, harta akan dibahagikan antara isteri, ibu dan bapa.
3. Jika tiada anak lelaki, ayah pun dah arwah, harta akan dibahagikan antara adik-beradik lelaki dan isteri serta anak-anak.

Mereka yang layak ni perlu pergi mahkamah dan lantik seorang pentadbir harta. Selepas itu, pentadbir harta akan bincang dengan semua yang layak mewarisi harta kita; siapa yang nak rumah, kereta, duit kat bank. Jika sepakat dan semua setuju, semua perlu pergi mahkamah sekali lagi dan minta kelulusan hakim untuk harta dibahagikan. Selepas tu, barulah harta dapat dibahagikan.

Bayangkan kos dan masa yang perlu diambil. Jika anak di bawah umur, perlu diwakili oleh seorang penjaga. Atau mungkin anak angkat, jika tiada wasiat, tak akan dapat apa-apa pun. Sebab itu berwasiat amat penting.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan