Khamis, 16 Ogos 2012

Cukupkah Markah Untuk Bergraduasi?

Hari ini aku sudah mula bercuti. Walaubagaimanapun, isteri masih berkerja hari ini kerana guru besarnya tidak mahu memohon cuti berganti untuk hari khamis. Mungkin GB beliau ada strategi tersendiri, mengapa berbuat sedemikian sedangkan orang lain tidak lepaskan peluang untuk bercuti. 

Dalam waktu yang diam ini, amat sesuai rasanya untuk bermuhasabah diri, cukupkah amalanku Ramadhan tahun ini untuk melayakkan aku bergraduasi Syawal nanti? Hisab diri ini sebenarnya amat baik untuk kita membuat "post-morterm" supaya kelemahan diri dapat diperbaiki. Hasil analisis SWOT yang dibuat tak menjadi keperluan pun untuk dikongsi dengan orang lain. Yang penting, kita sendiri yang mengambil iktibar, buat melakukan perubahan pada masa akan datang. Itu pun jika Allah masih izinkan untuk bertemu Ramadhan tahun hadapan.

Tinggal di sempadan Kajang-Bangi ini menjadikan mindaku lebih terbuka. Alhamdulillah, Allah beri aku peluang untuk lebih jelas antara adat dan ibadat. Maklumlah, dikelilingi pelbagai institusi pengajian tinggi, tempat berkumpul ramai orang cerdik pandai. Maka, pencerahan dan pemurnian agak baik dengan menyuburnya ceramah, tazkirah, dan usrah. 

Antara adat "orang kita", bulan Ramadhan mesti ke surau dan masjid untuk solat terawih berjemaah. Kalau tak ke surau dan masjid, alamatnya tak solat terawihlah jawabnya. Bila diberi pencerahan, boleh solat terawih sendiri, timbul persoalan; macam mana nak selawat? Sebenarnya, tiada syarat pun solat terawih perlukan selawat. Selawat tu hanyalah kebiasaan "orang kita" di sini. Maknanya, terawih itu mudah kerana Islam itu tidak menyusahkan.

Lebih malang lagi apabila ada yang solat isyaknya sendirian di rumah tapi terawihnya berjemaah. Sebab itu kadangkala berlaku di sesetengah tempat, saf terawihnya lebih banyak dari saf isyak. Kan terbalik tu? Yang sunat dilebihkan sedangkan yang wajib tak dibuat.

Begitu juga muslimat. Jika hadir solat terawih di surau dan masjid tetapi mendatangkan fitnah, lebih elok solat di rumah sahaja. Bukan bermaksud menghalang muslimat solat terawih berjemaah, tetapi ketika mengerjakan solat terawih yang sunat, hendaklah dijaga yang wajib; bersolek, jangan berlebihan, aurat hendaklah dipelihara dan kalau isteri, pergi dengan izin suami.

Walaubagaimanapun, setiap usaha untuk mengimarahkan Ramadhan wajar dipuji. Jika perbuatan kita tidak tepat atau tidak kena caranya, kita perbaiki kerana kita bukan maksum. Kesilapan dan kelemahan kita memang banyak. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua supaya dapat melakukan yang terbaik di bulan mulia ini.

Berdasarkan semua ini, kita mungkin boleh mencongak; cukupkah markahku untuk bergraduasi setelah berakhirnya Ramadhan? Adakah aku lebih sibuk dengan pasar juadah atau beribadah? Atau mungkin juga aku sibuk dengan majlis berbuka puasa dan baju serta kuih raya berbanding terawih, tadarrus dan qiamullail? Bak kata nabil, "Lu pikirlah sendiri". 

Moga-moga Ramadhanku kali ini lebih baik daripada sebelumnya. Jika ini Ramadhanku yang terakhir, semoga Allah terima segala amalanku dan digolongkan aku dalam kalangan orang-orang soleh. Amin, Ya Allah....

Selasa, 14 Ogos 2012

Ramadhan

Bulan Ramadhan sudah mula sampai ke penghujungnya. Tahun ini Ramadhan rasa lebih singkat daripada tahun lepas. Mungkin kerana pelbagai program yang berlangsung setiap minggu; dengan bengkel, seminar, himpunan dan majlis berbuka puasa.
Menyambut Ramadhan tahun ini mula sibuk apabila En Azrin, pengerusi surau mencadangkan pembelian karpet baru untuk dewan yang digunakan sebagai dewan solat terawikh. Bermulalah episod mencari sebut harga dan memungut derma dan sumbangan. Alhamdulillah ramai insan berhati emas yang sudi memberikan sumbangan dan jumlah yang diperlukan cukup dalam masa yang singkat sahaja.
Selain itu, program yang pelbagai sepanjang Ramadhan ini menunjukkan bahawa masyarakat hari ini mempunyai kesedaran yang tinggi untuk mengimarahkan Ramadhan. Surau dan masjid penuh dengan jemaah. Program tadarrus, qiamullail dan tazkirah juga mewarnai aktiviti-aktiviti sepanjang Ramadhan.
Akan tetapi, terdapat juga yang bersikap sebaliknya. Lihat sahaja di Bazar Ramadhan, ramai yang berpakaian tetapi seperti bertelanjang, belum lagi sikap membazir dan berlebih-lebihan semasa berbuka, menjadikan saya rasa sangat "sayang" Ramadhan yang penuh berkat ini disia-siakan begitu sahaja.
Walaubagaimanapun, saya berharap Ramadhan tahun ini menjadi Ramadhan yang lebih baik daripada tahun lepas. Moga-moga selepas Ramadhan ini, kita semua mendapat keampunan daripada Allah. Amiin.