Rabu, 30 November 2011

Lawatan ke SAF 2011

Pagi tadi sempat ke perkarangan letak kereta Stadium Melawati untuk meninjau Selangor Agrofest (SAF) 2011. Walaupun tak berapa mahir dengan jalan di Shah Alam, tetapi dengan bantuan GPS, akhirnya sampai jua. Sempena cuti sekolah ni, elok juga melawat tempat-tempat begini. Mak dan adik-adik pun ikut sekali.
Namun begitu, yang sedikit menyedihkan ialah publisiti untuk program yang sebesar ini bagi saya amat kurang. Banner dan banting yang digantung hanya nampak setelah hampir sampai ke tempat yang dituju. Walaubagaimanapun, kehadiran cukup ramai walaupun hari bekerja. Keadaan ini membuatkan saya terfikir, kalau banyak publisiti lagi, mungkin lebih ramai yang tahu dan teringin untuk hadir.
Pada SAF 2011 kali ni, ada banyak pameran dan gerai-gerai yang menjual hasil tempatan. Memang sesuai untuk mereka yang ingin mendapatkan maklumat terkini tentang hasil pertanian dan penternakan selain mencuba hasil-hasil IKS yang enak dan dijual pada harga yang murah. Kepada mereka yang tinggal di Lembah Klang dan tercari-cari tempat untuk membawa keluarga sempena cuti sekolah ini, saya mencadangkan SAF 2011 untuk anda. Jauh lebih murah daripada memasuki Zoo Negara dan tak sejauh Cameron Highland.

Ar-Rahnu 2

Berkenaan tulisan saya tentang ar-rahnu dan kad kredit sebelum ini, ada beberapa respon yang saya terima. Antaranya ialah; pergi ar-rahnu memalukan; menggadai emas macam tak cukup duit. Jawapan saya mudah sahaja; memang tak cukup duit pun. Yang peliknya, meminjam dengan kad kredit juga sama; tak cukup tunai tapi kita tak malu menggunakannya.
Ini kerana kita telah kena “brainwash”; pakai kad kredit sesuatu yang membanggakan kerana nampak macam orang kaya tapi gadai emas di ar-rahnu memalukan kerana nampak macam orang miskin. Seperti cerita tentang tuan lembu yang mengembala lembunya dengan menaiki motor buruk dan dihon oleh sebuah kereta mercedes. Tuan lembu tu sebenarnya kaya sebab lembunya berpuluh ekor dan harga setiap ekor beribu ringgit. Tuan mercedes tadi belum tentu kaya, silap-silap kereta tu pun hutang bank (bank yg punya). Oleh itu, biarlah kita lagaknya tidak seperti orang berada sangat walaupun hakikatnya kita tidaklah miskin sangat.
Apabila mengenangkan kehidupan kita sehari-hari, pernahkah kita menghitung berapa banyak muamalat kita setiap hari yang tidak bercanggah dengan syariat; tiada unsur gharar, tiada unsur riba’ dan tiada penindasan? Sebagai ummat terbaik; ummat Islam, kita perlu menunjukkan contoh terbaik dalam cuba melaksanakan semua muamalat kita mengikut syariat. Kepada yang masih ada aaun konvensional, tukarlah ke akaun Islamik. Begitu juga halnya dengan kad kredit, sebolehnya kita tidak menggunakan yang bukan Islamik dan gantikan dengan yang lebih syari’e.

MST: Sekarang ni cerita lembu sedang hangat di pasaran. Mungkin boleh fikir untuk buat filem tentang lembu.....

Sabtu, 26 November 2011

Ar-Rahnu vs Kad Kredit

Saya mula diperkenalkan tentang pelaburan emas lebih kurang 3 tahun lepas oleh seorang sahabat yang juga ejen Public Gold. Pada ketika itu, saya agak berminat juga untuk membeli emas Public Gold tetapi “pulus” tak mencukupi. Selepas itu, ada pula sahabat yang menceritakan tentang teknik pecutan dengan memanipulasikan sistem ar-rahnu untuk meningkatkan pelaburan emas. Selain itu, saya dan isteri juga ada membuat sedikit bacaan sama ada di alam maya atau alam nyata.
Hasil pembacaan dan perbincangan, saya nak berkongsi sedikit idea berkenaan penggunaan institusi ar-rahnu untuk mengelakkan penggunaan kad kredit. Baru-baru ini saya ingin membeli suatu barang dengan harga RM2,300. Namun begitu, saya tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk membelinya. Antara cara untuk membelinya ialah meminjam (saudara mara, kawan atau bank-termasuk kad kredit). Saya agak malu nak pinjam dengan saudara-mara atau kawan, jadi pilihannya ialah dengan mengunakan kad kredit.
Akan tetapi, ada cadangan daripada isteri saya supaya kami menggunakan emas yang kami miliki dengan memajaknya di ar-rahnu. Kami membuat kira-kira dan menunggu hari yang sesuai (harga yang agak tinggi di ar-rahnu). Selepas membuat pajakan, kami membeli barang tersebut. Tempoh pajakan biasanya selama 6 bulan. Ar-rahnu akan memberikan pinjaman sebanyak 65% daripada harga emas dan mengenakan ujrah (upah) kerana tolong simpan emas yang kami pajakkan. Kos ujrah lebih kurang 0.75% daripada harga emas (bergantung kepada ar-rahnu), jauh lebih rendah daripada caj kad kredit (walaupun yang Islamik).
Untuk menebus semula emas kami tadi, kami membuat bayaran sedikit-sedikit selama 6 bulan. Yang menariknya tentang pajak gadai Islam (ar-rahnu), jika kita tak mampu membayar balik pinjaman dalam masa 6 bulan, kita boleh membuat semakan semula dan membuat perjanjian baru tentang cara dan jumlah yang perlu di bayar. Setelah membuat kira-kira, cara ini lebih baik (caj lebih rendah) daripada berhutang dengan menggunakan kad kredit.
Kesimpulannya, jika ada duit lebih, belilah emas (barang kemas, dinar emas). Lebih menguntungkan daripada membeli ASB dan yang sewaktu dengannya. Dengan apa yang berlaku baru-baru ini (menggunakan ar-rahnu untuk ganti kad kredit), saya bertambah yakin untuk membuat pelaburan dalam bentuk emas (membeli emas) jika ada duit lebih. Banyak perkara yang boleh dibincangkan tentang emas ni. Jika ada sesiapa yang ingin berkongsi idea atau bertanya tentang emas, dipersilakan. Dengan berkongsi sedikit pengetahuan ini diharap dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Ahad, 20 November 2011

Mahalnya Ikan Patin Masak Tempoyak

Malaysia merupakan sebuah negara yang syurga makanan. Dalam musafir saya ke Kelantan minggu lepas, saya sempat menikmati nasi kerabu di Kelantan, keropok lekor di Losong, Terengganu dan singgah di Temerloh dengan tujuan nak merasa ikan patin masak tempoyak. 
Sebagai anak Pahang, gulai tempoyak ikan patin bukanlah asing bagi saya. Namun begitu, saya sedikit terkilan apabila singgah di Gerai Bukit Angin (R&R Bukit Angin) apabila melihat harga yang terpampang. Gerai yang sentiasa saya kunjungi semasa bertugas di Bera itu masih penuh dengan pelanggan seperti biasa tetapi perasaan kali ini tidak begitu selesa.
Pada asalnya saya tak mahu singgah di Bukit Angin, tetapi atas permintaan isteri yang teringin nak makan di Bukit Angin, saya singgah juga. Apabila sampai, saya memang teringin nak merasa ikan patin masak tempoyak tetapi melihat kepada harga yang terpampang, jadi takut pula. Nak tanya, tapi tuan kedai dan pelayan-pelayannya sibuk melayan pelanggan. Takut nanti kena marah pula jika bertanya harga.
Akhirnya, saya hanya ambil ikan keli dan isteri ambil burung puyuh. Tak sanggup rasanya nak berhabis berpuluh ringgit semata-mata nak merasa ikan patin walaupun isteri tanya berkali-kali kenapa tak ambil ikat patin. Alasan saya mudah, masih kenyang, tak teringin. Dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu.
Dalam perjalanan balik, saya singgah di gerai menjual patin di tepi jalan. Sekilo ikan RM15, seekor ikan tak sampai pun sekilo. Kalau masak sendiri di rumah, tak sampai RM15 pun. Kalau macam ni, baik makan di bangi sahaja, baru RM10 untuk separuh ikan. Bahagian paling sedap adalah bahagian kepala. Di bangi, bahagian kepala yang biasanya tak laku.
Saya harap, pada masa akan datang, saya akan dapat merasa lagi ikan patin tempoyak di Temerloh dengan rasa gembira dan bukan terkilan lagi. Mungkin ini kesan inflasi atau kapitalisme, entahlah.....

Isnin, 14 November 2011

Perginya Seorang Anak, Ayah, Suami, Sahabat dan Pejuang.

Dalam sibuk bersiap untuk kerja, bunyi pesanan ringkas (sms) yang bertalu-talu pada pagi Jumaat, 11 November lalu sedikit mengganggu. Biasanya pagi-pagi ni sms-sms promosi entah apa-apa atau sms daripada Celcom saja yang saya terima. Apabila dibaca salah satu sms yang diterima, berderau darah saya, serentak dengan sebutan “innalillah wa inna ilaihi raajiun”.

Berita yang saya terima amat mengejutkan; sahabat baik semasa di USM dulu telah meninggal dalam kemalangan. Beliau; Kamarulzaman Abdullah, terlibat dalam kemalangan selepas pulang dari Parlimen untuk menghadiri majlis penyerahan “Amanat Tun Razak” kepada PM berhubunga tuntutan royalti minyak Kelantan.

Saya terus membuat beberapa panggilan untuk mengesahkan berita itu. Perkara mati ni tak boleh buat main-main. Selepas mendapat pengesahan, saya terus maklumkan isteri dan utarakan kepadanya untuk menziarahi keluarga Allahyarham di Kelantan. Isteri saya serta-merta setuju. Kebetulan pula, isteri arwah; Farah Waheeda juga adalah sahabat isteri saya semasa di kampus dulu. Perkara pertama yang disebut isteri saya apabila saya sampaikan berita ialah, “Ya Allah... Kak Waheeda.” Mungkin dia terkenangkan nasib sahabatnya yang hampir 9 tahun tak ketemu.

Selepas solat jumaat, kami bertolak ke Kelantan. Sahabat-sahabat di Kelantan dihubungi dan Shahanaz setuju menjadi penunjuk jalan ke rumah keluarga Allahyarham. Kami sampai lewat malam di Kota Bharu dan menetap di sebuah hotel bajet di Lundang, berdekatan 7 Eleven Lundang dan Shell Jalan Sultan Yahya Petra.

Keesokan paginya Shahanaz membawa kami ke kubur Allahyarham terlebih dahulu. Setelah menyedekahkan Al-Fatihah dan doa, kami bergerak ke rumah keluarga Allahyarham di Batu 4, Wakaf Che Yeh. Perasaan yang bercampur-baur sejak dari kubur tadi bertambah kuat. Sesampainya kami ke rumah yang ditujui, kelibat tetamu yang berkunjung tak putus-putus.

Saya pun memberikan salam. Salam dijawab dan isteri Allahyarham muncul di muka pintu. “Ya Allah, dari jauh pun datang.” Saya hanya mampu tersenyum walaupun mata macam nak banjir melihat ketenangan seorang isteri pejuang. Mujur telefon bimbit berbunyi sebelum air mata sempat tumpah. Wan Hamadi, seorang sahabat lama menelefon mengajak ke rumah selepas menziarahi keluarga Allahyarham.
Bersama ayah Allahyarham; dua dari kiri

Selesai menjawab terlefon, saya naik ke rumah. Selepas seketika, saya sempat berbual dengan ayah Allahyarham. Banyak yang kami bualkan. Kebanyakkannya berkenaan Allahyarham. Antara yang saya sebutkan kepada beliau ialah, saya datang mungkin berdua dengan isteri tetapi yang mengirimkan salam takziah dan sumbangan duit sangat ramai; dari utara sampai selatan hingg ke Sarawak. Selain itu, insyaAllah kematian Allahyarham adalah kematian yang baik. Allah menjemput beliau pada malam Jumaat, pada waktu yang baik, dan tujuan musafirnya juga adalah tujuan yang baik; menuntut hak rakyat Kelantan. Belum dikira lagi doa dan solat jenazah Allahyarham yang dihadiri oleh sangat ramai orang.

Isteri Allahyarham bertudung hitam, duduk dua dari kanan
Sebelum pulang, Kak Waheeda ada berpesan, “minta pesan, kalau ada sesiapa yang ada memberi hutang kepada Allahyarham, sila tuntut dengan saya. Kalau Allahyarham ada membuat salah dan silap kepada sesiapa, mohon dimaafkan. Minta doakan dia.” Saya hanya mampu tersenyum sambil menjawab “Insya Allah.”

Bagi saya, kematian Allahyarham Kamarulzaman mempunyai banyak hikmah yang tersembunyi:
  1. Silaturrahim semasa di kampus yang telah terputus kerana tuntutan tugas dan kerja mula bertaut kembali. Sahabat yang lama tak dengar berita mula menelefon semula. Yang bertukar nombor telefon, memberi nombor telefon baru.
  2. Walaupun kini mungkin ada yang berlainan “bendera” tetapi kesan ukhuwwah semasa di kampus masih dirasai apabila masing-masing melahirkan kesedihan dan takziah atas pemergian Allahyarham.
  3. Sahabat sanggup memberi derma dengan banyaknya kepada isteri dan anak Allahyarham. Sumbangan yang sahabat-sahabat kirim RM950 semuanya dan dikumpul dalam tempoh dua hari sahaja (Jumaat-Sabtu). Balik hari ni, dapat tahu ada RM350 lagi yang dikirim tapi saya lambat tahu. Akan disampaikan sumbangan ini melalui sahabat yang tinggal di Kelantan. Oleh itu, diharap momentum memberi derma ini dapat diteruskan lagi untuk perkara-perkara lain pula.
  4. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Walaupun terasa kesedihan di rumah Allahyarham, tetapi ketabahan dan keredhaan keluarga Allahyarham menutupi kesedihan tersebut. Beginilah layaknya keluarga seorang pejuang.
  5. Pengajaran kepada yang masih hidup bahwa kematian itu tidak mengenal siapa. Kita mohon doa supaya kita mati dalam sebab dan kerja yang baik. Selain itu, jangan kita bersekongkol dengan kemaksiatan dan pembuat maksiat dan penzalim. Takut-takut tak sempat minta ampun.


Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Kamarulzaman Abdullah dan ditempatkan beliau dalam kalangan para syuhada dan orang-orang soleh. Insya Allah, kami semua akan mengikuti kamu juga. Dalam kenangan: Kamarulzaman bin Abdullah; Seorang Anak, Ayah, Suami, Sahabat dan Pejuang.